EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah (tengah) bersama Pengerusi MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh (kiri) dan Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof melakukan simbolik perasmian Jelajah Saya Digital Shah Alam di AEON Mall Shah Alam pada 11 Mei 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MDEC latih 103,858 usahawan Selangor, catat jualan terkumpul lebih RM309 juta

SHAH ALAM, 13 MEI: Seramai 103,858 usahawan Selangor dilatih menerusi program eUsahawan kendalian Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan menjana jualan terkumpul lebih RM309 juta.

Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh berkata program yang dilaksanakan sejak 2015 itu menekankan kepentingan keusahawanan digital untuk menjana pendapatan, mempromosi produk dan meningkatkan jualan.

“Melalui program eUsahawan ini juga, MDEC berjaya melatih seramai 563,543 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan usahawan di seluruh negara dengan menjana jualan terkumpul melebihi RM1.24 bilion,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Jelajah Saya Digital@Shah Alam yang disempurnakan EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah di sini, hari ini.

EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah bersama Pengerusi MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh (kiri) dan Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof selepas perasmian Jelajah Saya Digital Shah Alam di AEON Mall Shah Alam pada 11 Mei 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Syed Ibrahim berkata penyediaan ekosistem ekonomi digital yang lengkap dan mampan penting dalam usaha membina sebuah masyarakat yang lebih inklusif dan berdaya saing dalam peredaran era digital.

“MDEC telah melaksanakan program yang tersusun untuk memastikan bekalan bakat teknologi digital yang mampan bagi memenuhi keperluan industri.

“Antara program pembangunan bakat digital yang di bangunkan di peringkat sekolah adalah MyDigitalMaker yang telah dilancarkan pada Ogos 2016.

“Sehingga Disember tahun lalu lebih 2.5 juta pelajar di seluruh negara telah mendapat manfaat menerusi program ini yang merupakan usaha kerjasama daripada pelbagai pihak dari sektor awam, swasta, dan akademik,” katanya.

 


Pengarang :