Penternak lembu, Mahadi Hasan, 45, memandikan ternakan lembunya akibat keadaan cuaca panas yang melampau khususnya pada waktu tengah hari ketika tinjauan di Kampung Sungai Mati, Langgar, Alor Setar pada 20 Mac 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Monsun Barat Daya dijangka bermula 17 Mei, berterusan hingga September

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Monsun Barat Daya dijangka bermula Jumaat ini dan akan berterusan hingga September, menyebabkan kebanyakan tempat di seluruh negara mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding bilangan hari hujan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata pada musim ini, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.

“Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan yang membawa kepada taburan hujan lebih rendah dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah terutamanya pada awal pagi.

Muhammad Helmi berkata garis badai ialah barisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.

Selain itu, katanya dalam tempoh Monsun Barat Daya, fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal terutamanya pada Julai hingga September.

Justeru, beliau menasihati orang ramai untuk mengelak melakukan pembakaran terbuka, selain menggalakkan mereka menggunakan air secara berhemah sepanjang musim berkenaan.

Menurutnya, maklumat cuaca terkini boleh didapati melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi jabatan dan hotline MetMalaysia 1-300-22-1638.

– BERNAMA


Pengarang :