Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada program bagi memecah rekod The Malaysia Book Of Record (MBOR) Most Kindergartener Participants In An Integrity Awareness Campaign di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 20 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Mutu perkhidmatan di KKB diperkemas, teruskan legasi cemerlang

SHAH ALAM, 20 MEI: Memperkemas mutu perkhidmatan untuk penduduk Kuala Kubu Bharu antara tumpuan Kerajaan Perpaduan selepas diberi mandat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu 11 Mei lalu.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor berkata penelitian dilakukan untuk mengenal pasti aspek perkhidmatan yang perlu diperkemas bagi memastikan wakil rakyat baharu Pang Sock Tao dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

“Kita menilai prestasi dan perkhidmatan yang harus diperkemas oleh wakil rakyat.

“Perkara lain (post mortem) PRK belum lagi dilakukan secara terperinci. Tetapi kita sedang tengok secara teliti setiap angka dan data bagi memastikan dapat berikan terbaik kepada rakyat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama kanak-kanak pada program bagi memecah rekod The Malaysia Book Of Record (MBOR) Most Kindergartener Participants In An Integrity Awareness Campaign di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 20 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Ditemui dalam satu program di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini, Amirudin berkata sokongan daripada jentera Kerajaan Perpaduan juga berhasil mencapai kemenangan.

“Umno membantu dengan agak signifikan dalam PRK itu dan memberikan sokongan daripada sudut jentera dalam memastikan apa yang minimum yang telah kita perolehi dalam pilihan raya lepas dikembalikan.

“Trend sokongan juga semakin kukuh khususnya dalam kalangan Melayu ada peningkatan tiga hingga lima peratus,” katanya.

Pada PRK Dewan Undang Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu Kerajaan Perpaduan mempertahankan kerusi itu dalam pertembungan empat penjuru selepas memperoleh undi majoriti 3,869 undi.

Sock Tao memperoleh 14,000 undi sekali gus menewaskan Perikatan Nasional yang diwakili Khairul Azhari Saut (10,131 undi) manakala calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin 152 undi dan Bebas, Nyau Ke Xin hanya 188 undi.

Terdahulu Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar
mewakili Kerajaan Negeri menerima sijil pengktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) selepas berjaya mengumpulkan 1,066 murid tadika dalam kempen kesedaran integriti.

Program anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI melibatkan kanak-kanak berumur tiga hingga enam tahun menyertai aktiviti mewarna lakaran kartun berkaitan nilai integriti.


Pengarang :