SEPANG, 27 MEI: Kerajaan Selangor memperuntuk RM950,000 bagi pembinaan 13 unit rumah jenis satu tingkat untuk masyarakat Orang Asli bawah Program Bina Rumah Baru dan Baik Pulih 2023.
Penolong pengarah (Seksyen Sektoral) Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen) berkata projek mulai Jun tahun lalu meliputi pembinaan rumah tiga bilik bernilai RM85,000 dan dua bilik (RM55,000).
“Program ini bagi memberi keselesaan buat masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman, sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka,” kata Idayuamimah Ibrahim.
Ditemui selepas penyerahan kunci rumah Orang Asli di sini hari ini, jelasnya, permohonan bagi kediaman itu dikendali Jabatan Kemajuan Orang Asli dengan kelayakan disemak Upen.
Sementara itu, pengurus kanan Jabatan Teknikal dan Pengurusan Bangunan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata serahan semua kediaman terbabit dijangka selesai pertengahan Jun.
Menurut Kamarul Zaki Khalid, penyerahan bermula hari ini melibatkan empat buat rumah di Dengkil dan dua di Hulu Langat, manakala baki di Hulu Selangor serta Kuala Langat.
“Setakat ini, sebanyak 10 rumah siap dibina, sementara tiga lagi dalam fasa akhir pembinaan,” katanya.