Perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) Mobi di SS15 Subang Jaya pada 21 Jun 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri pertama sedia van transit, usaha Selangor dicontohi agensi lain

SHAH ALAM, 24 MEI: Selangor muncul negeri pertama memperkenal van transit atas permintaan (DRT) bagi menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam sebelum diperluas agensi lain di Malaysia.

Menerima sambutan baik, projek itu menurut EXCO Mobiliti Ng Sze Han akan ditingkatkan ke seluruh negeri selaras manifesto negeri Lima Tekad Lima Tahun yang dilancarkan pada Julai 2023.

“Dengan keberkesanan projek rintis ini, Selangor berhasrat memperluas perkhidmatan DRT ke seluruh Selangor selaras komitmen Lima Tekad Lima Tahun yang dilancarkan pada Julai 2023.

“Sekiranya berkemampuan, negeri juga berhasrat mengoptimumkan kos perbelanjaan tahunan sedia ada,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Selain kos pemasaran dan pemantauan, Sze Han berkata peruntukan disalur negeri turut digunakan untuk menampung sebahagian tambang dengan kadar tetap RM2 bagi setiap perjalanan.

Ahli Dewan Negeri Kinrara Ng Sze Han bercakap kepada media selepas meninjau projek penambahan parkir di Jalan Wawasan 5/1, Taman Wawasan, Puchong pada 5 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Jelasnya, sebanyak empat van beroperasi di lapan zon dalam tempoh percubaan fasa pertama meliputi laluan Ampang, Hulu Kelang, Puchong dan UPM-Serdang dikendali Asia Mobility Technologies Sdn Bhd.

“Laluan di Subang Jaya, Petaling Jaya Utara dan Selatan serta Sungai Buloh pula dikendali Badan Bas Coach Sdn Bhd, tertumpu di kawasan padat dan sempit yang tidak boleh dilalui bas,” katanya.

Perkhidmatan DRT bawah inisiatif Mobiliti Selangor diperkenal Kerajaan Negeri bagi meningkatkan keberkesanan pengangkutan awam yang dipandu dengan penganalisaan data.

Usaha berkenaan bagi menyelesaikan isu ketersambungan awal dan akhir ke sistem pengangkutan awam utama seperti stesen kereta api dan kawasan perumahan yang tidak boleh diakses Bas Smart Selangor.

Pada 6 Mac, kerajaan persekutuan meluluskan RM50 juta bagi meluaskan lorong khas bas termasuk pembelian 100 unit van DRT di Lembah Klang bermula September 2024.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah tersebut demi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas khususnya kawasan padat di ibu negara.

 

 


Pengarang :