Orang ramai menyemak dan membayar cukai serta kompaun di kaunter bergerak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keramat, Hulu Kelang pada 17 Jun 2023. Foto Majlis Perbandaran Ampang Jaya
PBTSELANGOR

Orang awam boleh kemuka bantahan kadar nilaian baharu sebelum 31 Mei

SHAH ALAM, 29 MEI: Pemilik kediaman yang menerima notis senarai nilaian baharu Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) boleh membuat bantahan

Pengarah Jabatan Korporatnya memberitahu bantahan boleh dibuat selewat-lewatnya 31 Mei dengan mengimbas kod QR dalam notis atau memuat turun borang permohonan bantahan di laman web MPS.

Mohamad Zin Masoad menjelaskan senarai nilaian baharu terpaksa disemak semula bagi mengimbangi kos pengurusan dan perkhidmatan seiring hasil cukai taksiran semasa.

“Pada masa ini, cukai taksiran MPS berdasarkan Aras Nilaian 1992 iaitu 33 tahun lalu tetapi kos perbelanjaan yang perlu ditanggung adalah kos semasa.

“Sekiranya senarai nilaian baharu ini tidak dibuat, pembayar cukai mungkin menerima perkhidmatan perbandaran pada tahap minimum dan persekitaran kediaman kurang memuaskan.

“MPS pula menanggung kos perkhidmatan dengan nilai perbelanjaan terkini tetapi pendapatan rendah sekali gus mutu perkhidmatan tidak dapat dipertingkat,” katanya kepada Selangorkini.

Bahagian Perhubungan Awam & Sekretariat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pula dalam proses untuk menguat kuasa senarai nilaian baharu berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

Menurut kenyataan MPAJ baru-baru ini, kadar cukai taksiran yang berkuat kuasa dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu pada masa ini menggunakan kadar pada 1997.

“Untuk makluman, MPAJ mengedar notis senarai nilaian baharu kepada 181,144 pemilik pegangan yang mana 85,646 melibatkan pegangan bertanah selebihnya berstrata.

“Bagi pegangan seperti rumah dan kedai yang tiada perubahan matan atau penambahan ruang lantai, jumlah cukai perlu dibayar melibatkan kenaikan 25 peratus daripada cukai lama.

“Jika cukai lama ialah RM200, maka cukai baharu perlu dibayar ialah RM250 iaitu kenaikan RM50,” kata kenyataan lagi.

MPAJ mempelawa pemilik pegangan untuk membuat semakan senarai nilaian baharu di lobi aras 4, Menara MPAJ atau hubungi Jabatan Penilaian dan Pembangunan Hartanah talian 03-42857072.

Mereka juga boleh membuat bantahan bertulis secara dalam talian kepada Jabatan Penilaian dan Pembangunan Hartanah sebelum 31 Mei.


Pengarang :