AGENDANASIONAL

Panggung Seni Tradisional kembali, promosi kebudayaan pelbagai kaum

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Panggung Seni Tradisional 2024 (PST2024) kembali lagi tahun ini di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC) bagi mempromosikan keindahan kebudayaan dan kesenian tradisional pelbagai kaum di Malaysia.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam kenyataan memaklumkan program yang dimulakan sejak 2013 itu menampilkan lima persembahan masyarakat majmuk di negara ini dengan kesenian “Ronggeng Melayu” oleh Nusantara Performing Arts Research Center (NUSPARC) sebagai pembuka tirai PST semalam, yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, MaTIC.

“JKKN terus komited dalam menyemarak dan memartabatkan seni budaya negara dan PST2024 merupakan langkah pemuliharaan dan pengekalan seni warisan serta memartabatkan kesenian tradisional ke tahap yang lebih cemerlang.

“PST bukan sahaja menjadikan Kuala Lumpur dan setiap negeri sebagai hab persembahan kesenian tradisional, malah mengangkat program ini sebagai produk pelancongan kebudayaan,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, PST 2024 akan diteruskan dengan persembahan rampaian tradisional masyarakat Cina iaitu “Gema Kesenian Cina Malaysia” yang menampilkan gendang Cina, tarian singa, persembahan alat muzik Er Hu, opera dan tarian Naga oleh Pertubuhan Kumpulan Kesenian Mahligai Budaya Kuantan pada 28 dan 29 Jun ini.

“Pada 6 dan 7 Sept ini , PST akan mempersembahkan Teater Tradisional Randai: “Kobau Den Lopeh” oleh Kelab Penggiat Seni Teater Negeri Sembilan. Randai adalah satu daripada seni persembahan teater tradisional masyarakat Negeri Sembilan.

“Teater Klasik India: “Ayyappa” pula akan menemui warga kota pada 27 & 28 Sept 2024 oleh Pertubuhan Kesenian dan Kebudayaan Sri Rathakrishanan Music & Arts Center,” menurut kenyataan itu.

JKKN berkata penutup PST 2024 adalah pementasan dari Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching yang akan mempersembahkan Teater Legenda Melanau: “Tugau” pada 25 dan 26 Ok nanti.

Maklumat lanjut mengenai program itu boleh melayari media sosial JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya.

– BERNAMA


Pengarang :