Mohamad Faisal Abdul Halim. Foto Facebook Selangor FC
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Faisal dibenarkan pulang hari ini, doktor pakar sifatkan pemulihan luar biasa

SHAH ALAM, 25 MEI: Pemain kebangsaan Faisal Halim yang mengalami kecederaan melecur tahap empat akibat disimbah asid, dibenarkan keluar hospital hari ini selepas dirawat 20 hari.

Selangor FC dalam kenyataan memaklumkan pemulihan pemain sayap Gergasi Merah itu disifatkan doktor pakar sebagai amat luar biasa dan mejangkaui jangkaan semua pihak.

“Faisal Halim telah discajkan dari hospital setelah menjalani empat pembedahan untuk merawat kecederaan luka lecuran tahap empat, kesan daripada simbahan asid tempoh hari.

“Berdasarkan pemerhatian dan rawatan doktor pakar yang bertugas, pemulihan Faisal Halim daripada kecederaan serius amat luar biasa dan mejangkaui jangkaan semua pihak,” menurut kenyataannya di Facebook hari ini.

Tambah kenyataan itu, pihak keluarga serta kelab turut memohon semua pihak memberi ruang bagi memastikan proses rawatan dan pemulihan Faisal berjalan lancar.

Selangor FC turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua petugas yang merawat Faisal, keluarga besar kelab dan rakyat Malaysia yang mendoakan kesejahteraan pemain berusia 26 tahun itu.

“Mari kita bersama-sama terus mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan yang sepenuhnya buat Faisal Halim dan semoga beliau dan keluarga terus diberikan kekuatan mengharungi waktu yang sukar ini,” katanya.

Pada 5 Mei lalu, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal atau dikenali sebagai Mickey cedera disimbah asid di sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya.

Sehubungan itu, polis mendedahkan wajah suspek kes serangan tersebut pada 19 Mei lalu mengikut lakaran fotofit yang berjaya dihasilkan.

Ends.


Pengarang :