Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis makan tengahari sempena pembukaan Semicon Asia Tenggara 2024 di MITEC, Kuala Lumpur pada 28 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Pelaburan meningkat, Selangor cipta 89,000 peluang kerja tahun lalu

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Sebanyak 89,000 peluang kerja dicipta sepanjang tahun lalu termasuk tawaran di 234 projek perkilangan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kejayaan itu disokong pelaburan sektor pembuatan yang meningkat 40 peratus kepada RM19.31 bilion berbanding tahun sebelumnya.

“Berdasarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), sektor elektrik dan elektronik menyumbang satu per tiga daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan di Selangor.

“Tahun 2022, lebih satu per empat nilai KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) iaitu 25.5 peratus datang dari ekonomi Selangor. Saya yakin kita boleh ulangi kejayaan ini malah mampu lakukan lebih baik,” katanya.

Beliau berucap di majlis makan tengah hari sempena pembukaan Ekspo Semicon Asia Tenggara 2024 yang dirasmikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri ZafrulTengku Abdul Aziz hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd ketika majlis makan tengahari sempena pembukaan Semicon Asia Tenggara 2024 di MITEC, Kuala Lumpur pada 28 Mei 2024. Turut sama EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris (kanan). Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pada Mac lalu, laporan dikeluarkan Mida memaklumkan Selangor merekodkan jumlah pelaburan RM55.3 bilion tahun lalu, melebihi sasaran RM45 bilion yang ditetapkan.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata jumlah terbabit merangkumi pelaburan domestik dan asing selain projek perkilangan atau sektor pembuatan mencatatkan peningkatan setiap tahun.


Pengarang :