Kakitangan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) menggayakan Batik Selangor pada majlis pelancaran di Bangunan Annex, Shah Alam pada 1 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pemakaian batik setiap Khamis lonjak nilai jualan, industri kraf negara

CHUKAI, 24 MEI: Langkah kerajaan mewajibkan pemakaian batik di kalangan penjawat awam berkuatkuasa Ogos tahun lepas berjaya melonjakkan industri batik negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Kraftangan Malaysia Abdul Halim Ali berkata, perkembangan tersebut dapat dilihat daripada peningkatan nilai jualan batik Malaysia pada tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.

“Nilai jualan batik pada 2022 ialah sebanyak RM83.3 juta, dan ia telah meningkat kepada RM100.4 juta tahun lepas. Malah, jumlah usahawan batik yang berdaftar dengan Kraftangan Malaysia juga semakin ramai iaitu 823 usahawan pada 2023 berbanding 767 pada 2022.

“Di pihak Kraftangan Malaysia, kami sentiasa membantu dari segi promosi, khidmat nasihat dan sebagainya untuk memastikan industri batik tempatan terus berkembang,” katanya ketika ditemui pada sesi Walkabout Festival Kraf Pantai Timur 2024 di Mesra Mall, Kemaman di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata usaha pihaknya memajukan aspek sosioekonomi golongan berpendapatan rendah dan asnaf turut menunjukkan perkembangan yang positif dan membanggakan. — LAGI

Menurutnya, di bawah Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK), seramai 2,916 usahawan berjaya dilahirkan bermula dari 2020 hingga 30 April lalu.

Katanya, peruntukan sebanyak RM1.2 juta disediakan setiap tahun untuk program pembangunan komuniti tersebut, tidak termasuk perbelanjaan promosi dan lain-lain.

“Usahawan komuniti ini adalah usahawan baharu yang kita lahirkan selepas dunia mengalami serangan COVID-19. Selepas pandemik, ramai yang tidak mempunyai pekerjaan, jadi kita ambil inisiatif untuk bantu dengan cara melatih usahawan baru.

“Tetapi, kita pastikan produk kraf yang mereka hasilkan adalah sesuatu yang menjadi keperluan, bukan hanya dekorasi dan perhiasan semata,” katanya.

Seramai 57 usahawan kraf dari seluruh negara menyertai festival tersebut yang berlangsung mulai 22 Mei hingga 3 Jun depan dengan anggaran nilai jualan sebanyak RM2.4 juta.

— BERNAMA


Pengarang :