AGENDAJENAYAH

Pengurus bangunan menyamar ketua polis Johor didenda RM1,000

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Seorang pengurus bangunan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyamar sebagai Ketua Polis Johor bagi melepaskan 11 tahanan dengan bayaran RM1,500 setiap seorang, minggu lepas.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim menjatuhkan hukuman itu ke atas A Ganasean, 51, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda.

Ganasean didakwa memperdaya seorang individu dengan menyamar sebagai Ketua Polis Johor di Bandar Baru Sentul di sini pada 8.35 malam, 6 Mei lepas mengikut Seksyen 416 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama, membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pengadu telah menerima panggilan telefon daripada seorang yang memperkenalkan diri sebagai Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar dan membuat tawaran untuk membebaskan 11 tahanan dengan bayaran RM1,500 setiap seorang.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh tidak boleh dipandang ringan namun Peguam S Narasimhan yang mewakili Ganasean memohon supaya anak guamnya dikenakan hukuman denda minimum dengan alasan tertuduh menyara keluarga.

“Dia juga mempunyai akhlak yang baik kerana sering melakukan kerja-kerja amal di rumah kebajikan dan kuil,” kata peguam itu.

-BERNAMA

 


Pengarang :