AGENDANASIONAL

Perkeso lanjut bulan pemutihan hingga 30 Jun, beri peluang majikan daftar pekerja

SHAH ALAM, 30 MEI: Tempoh pendaftaran dan caruman pekerja dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sempena bulan pemutihan yang berakhir esok dilanjutkan sebulan lagi hingga 30 Jun ini, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata ia bagi memberi peluang kepada lebih ramai majikan untuk terlibat selain sambutan menggalakkan serta peningkatan drastik jumlah pendaftaran dan caruman sepanjang pelaksanaan bulan pemutihan.

“Bagi tempoh dari 15 Mei iaitu pelancaran bulan pemutihan sehingga 29 Mei lalu, Perkeso merekodkan lonjakan pendaftaran majikan baharu sebanyak 31.8 peratus atau 7,370 majikan, berbanding tempoh sama pada bulan sebelumnya.

“Pendaftaran pekerja baharu meliputi warga tempatan dan asing pula, peningkatan 34.1 peratus direkodkan meliputi 126,041 pekerja baharu yang berdaftar untuk tempoh sama,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2024 Peringkat Zon Tengah di sini hari ini.

Sim berkata setiap majikan perlu mengambil peluang melaksanakan tanggungjawab kepada pekerja dengan pelanjutan itu sekali gus mengelak dikenakan tindakan.

Beliau berkata majikan yang gagal mendaftar dan membayar caruman Perkeso boleh dikompaun sehingga RM5,000 mengikut kesalahan atau boleh dikenakan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) pada kadar enam peratus setahun atas setiap hari caruman lewat dibayar serta dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran dan menambah jumlah pendaftaran serta caruman, Perkeso setakat ini telah melakukan lawatan ke 11,035 premis berbanding 9,925 bagi tempoh sama tahun lalu.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dilaporkan berkata majikan diberi tempoh hingga 31 Mei ini untuk mendaftar dan mencarum pekerja mereka secara sukarela.

Dalam pada itu, Sim berkata Perkeso menerima 1,206 permohonan daripada pelbagai kesatuan sekerja di seluruh negara untuk program Bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja dan daripada jumlah itu, sebanyak 369 permohonan melibatkan RM3.2 juta diluluskan.

Daripada jumlah itu, 71 permohonan meliputi RM705,000 diluluskan melibatkkan PHEKS 2024 Peringkat Zon Tengah meliputi Selangor dan Wilayah Persekutuan.

– BERNAMA


Pengarang :