Orang ramai membeli barangan keperluan harian ketika Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 18 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PM: Tambahan bantuan Rahmah bukti penjimatan urus kewangan

SHAH ALAM, 21 MEI: Bukti anjakan pengurusan negara dapat dilihat dengan jelas apabila sebahagian penjimatan itu dapat digunakan untuk menambah baik bantuan kepada rakyat.

Justeru Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan bagi Sumbangan Asas Rahmah (Sara) ditingkat kepada RM700 juta, lebih lima kali ganda iaitu RM130 juta tahun lalu.

“Kita juga meluaskan bilangan penerima kepada 700,000 dan menambah nilai bantuan kepada RM1,200 berbanding RM600.

“Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kita naikkan RM2 bilion daripada RM8 bilion (2023) kepada RM10 bilion (2024) yang memanfaatkan 9 juta penerima,” katanya pada Perutusan Negara malam ini.

Tambah beliau, bantuan kepada murid sekolah juga ditambah baik dengan memperluas Bantuan Awal Persekolahan kepada semua murid daripada darjah 1 hingga tingkatan 5 dengan peruntukan hampir RM800 juta.

Selain itu, katanya insentif pengeluaran getah dinaikkan dua kali iaitu daripada RM2.50 sekilogram pada 2022 kepada RM2.70 (2023) dan RM3 pada tahun ini.

“Kerajaan Madani mengambil langkah meningkatkan pendapatan pesawah. Kadar Skim Subsidi Harga Padi
ditingkatkan daripada RM360 (2022) kepada RM500 per metrik tan pada 2023,” katanya.


Pengarang :