Antara penyokong yang hadir pada Malam solidariti Faisal Halim bersama MPKj dan Selangor Soccer Fan Club di Stadium Kajang pada 17 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ponyokong harap Faisal segera sembuh, kembali beraksi lincah di padang

HULU LANGAT, 18 MEI: Kesungguhan penyokong Selangor FC menghadiri malam solidariti untuknya diharap menjadi pembakar semangat untuk Faisal Halim segera pulih dari kecederaan akibat disimbah asid.

Kakitangan swasta, Idaisinarsuria Yaacob, 36, berkata sebagai peminat sukan bola sepak beliau sudah beberapa kali berpeluang menonton aksi Faisal di stadium dan berharap pemain itu diberikan kesembuhan segera supaya dapat kembali beraksi selepas ini.

“Faisal ini pemain kesukaan ramai. Bukan hanya kemahiran dia menarik penyokong tetapi perwatakannya yang sering tersenyum dan mesra menambat hati penyokong.

Antara penyokong yang hadir menunaikan solat hajat dan doa selamat pada Malam solidariti Faisal Halim bersama MPKj dan Selangor Soccer Fan Club di Stadium Kajang pada 17 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Bila ditayangkan kompilasi video aksi Faisal sebelum ini pada malam solidariti ini, sangat sedih bila memikirkan dia diperlakukan begitu. Diharap pelaku segera ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau ditemui pada Malam Solidariti Faisal Halim Bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor yang berlangsung di Stadium Kajang di sini malam tadi.

Sementara itu Azlishah Abdul Manan, 51, berharap insiden disimbah asid tidak mematahkan semangat Faisal untuk segera sembuh dan kembali mempamerkan aksi lincah di padang.

“Saya harap Faisal tidak putus asa dan kuat mentalnya untuk sembuh. Sama-sama doakan agar Faisal kembali pulih dan dapat terus memberikan aksi cemerlang di padang.

“Dia perlu tahu penyokong Selangor FC sentiasa ada di belakangnya dan malam solidariti ini yang dihadiri ratusan penyokong diharap dapat menjadi pemangkin semangat untuk segera sembuh,” katanya.

Antara penyokong yang hadir menandatangan di banner sebagai solidariti kepada Faisal Halim pada Malam solidariti Faisal Halim bersama MPKj dan Selangor Soccer Fan Club di Stadium Kajang pada 17 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Bagi kakitangan swasta Halim Md Yufos, 50, siasatan polis perlu disegerakan dan berharap pelaku ditangkap segera kerana perbuatan itu sangat kejam dan wajar diberi hukum setimpal secepat mungkin.

“Insiden simbah asid itu sangat kejam seperti mahu memusnahkan karier Faisal. Diharap Faisal kuat semangat untuk terus pulih,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 200 penyokong Selangor FC memenuhi Stadium Kajang di sini malam tadi sebagai tanda solidariti terhadap pemain pasukan itu. Program dimulakan dengan solat Isyak dan hajat berjemaah serta doa selamat.

Program kemudian diteruskan dengan penyokong dan hadirin menurunkan tandatangan solidariti kepada Faisal di kain rentang besar sebagai tanda sokongan dan menaikkan semangat supaya cepat sembuh.

Pada 5 Mei lalu, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal atau dikenali sebagai Mickey cedera disimbah asid di sebuah pusat beli belah di Petaling Jaya dan mengalami lecur tahap empat.

Pemain sayap lincah berusia 26 tahun itu kini memasuki fasa pemulihan baharu iaitu rawatan rekonstruktif melibatkan pembaikan dan pemulihan struktur badan.

 


Pengarang :