Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap ketika sidang media Kejohanan Selangor International Junior Golf Championship 2024 dan PKNS Selangor Masters 2024 di Kelab Golf Seri Selangor pada 30 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Proses nilaian baharu tingkat keberkesanan perancangan bandar

PETALING JAYA, 30 MEI: Proses penilaian baharu yang dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) penting demi memastikan keberkesanan perancangan bandar selain merangka strategi masa depan.

Menegaskan rumah kos rendah tidak dikenakan cukai meski menerima notis itu, Dato’ Menteri Besar menjelaskan ia bertujuan mengetahui nilai dan kualiti perbandaran sesebuah kawasan.

“Apabila buat nilaian semula, maka nilai rumah atau hartanah meningkat. Jadi (proses) ini adalah penilaian (nilai) yang sebenar (terkini).

“(Kemudian barulah) Kerajaan Negeri menetapkan selepas ini bila hendak dinaikkan atau sebagainya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas isu berkenaan ketika ditemui selepas sidang media Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor dan PKNS Selangor Masters di Kelab Golf Seri Selangor di sini.

Amirudin memberitahu pentadbiran negeri akan meneliti pelbagai faktor sebelum memberi kebenaran kepada PBT untuk membuat kenaikan cukai taksiran ataupun sebaliknya.

“Mungkin ada kesan kepada cadangan peningkatan (cukai taksiran). Tetapi Kerajaan Negeri akan melihat situasi ekonomi, sama ada benarkan kenaikan ataupun tidak.

“Perlu diingat (nilaian semula) ini bertahun-tahun tidak dibuat sejak dulu. (Mungkin) ada dekat 20 tahun. Jadi kita kena buatlah,” katanya.

Beliau menambah proses penting itu gagal dibuat pentadbiran negeri yang diketuai Dato’ Menteri Besar sebelum ini sedangkan urusan tersebut penting untuk kesejahteraan penduduk.

Sebelum ini, Amirudin ada menjelaskan proses nilaian semula antara proses lazim PBT bagi memperoleh nilaian terkini pegangan atau aset selepas lebih 10 tahun kadar sedia ada.

Orang ramai juga boleh membuat bantahan selepas menerima notis nilaian semula dengan mengisi dokumen tertentu yang disediakan setiap PBT mengikut tempoh tertentu.


Pengarang :