Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melawat di sekitar perpustakaan ketika majlis perasmian penjenamaan semula Perpustakaan Syed Mashor Perpustakaan Awam Selangor di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 03 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor pelopor perpustakaan awam mesra transit, mudahkan ibu bapa bekerja

HULU SELANGOR, 3 MEI: Selangor menjadi pelopor dalam penyediaan perkhidmatan transit percuma di perpustakan awam menerusi inisiatif Perpustakaan Mesra Transit yang dilancar hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu membantu ibu bapa bekerja sekali gus menjadi rumah kedua anak-anak.

“Usaha ini merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri yang mahu perpustakaan awam dijadikan sebagai rumah kedua untuk kanak-kanak.

“Ia akan menyediakan persekitaran kondusif kepada anak-anak terutamanya semasa peralihan sesi persekolahan selain sebagai pusat sehenti untuk mereka berehat sebentar,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menandatangani plak perasmian ketika majlis perasmian penjenamaan semula Perpustakaan Syed Mashor Perpustakaan Awam Selangor di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 03 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penjenamaan semula Perpustakaan Syed Mashor di Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini. Turut hadir Pengarah PPAS Datin Paduka Mastura Muhammad.

Perpustakaan Syed Mashor yang dinamakan sempena nama pahlawan Melayu ulung dalam perang Kelang, dinaik taraf dengan kos RM3.25 juta dan mula beroperasi pada Oktober 2022.

Dalam pada itu, Mastura berkata projek perintis Perpustakaan Mesra Transit telah dilaksana di PPAS Bukit Bangkong, Sepang pada tahun lalu dan menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

Sehubungan itu, katanya, kemudahan itu akan diteruskan di 12 perpustakaan terpilih seluruh negeri membabitkan lima perpustakaan daerah dan tujuh perpustakaan cawangan.

“Di transit itu, dari segi makanan, kita akan fokus kepada ibu bapa yang kurang berkemampuan. Pada mereka yang mampu, kita galakkan mereka sedekah dan kita juga terima sumbangan awam.

“Konsep ini ringkas sahaja. Kita hanya buat tambah nilai baharu supaya perpustakaan ini berfungsi kepada semua tanpa mengira latar belakang,” katanya.


Pengarang :