Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika mengadakan sidang media di Dewan Annexe, Shah Alam pada 3 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor selaras kenaikan gaji penjawat awam ikut persekutuan

SHAH ALAM, 3 MEI: Selangor akan turut melaksana penyelarasan kenaikan gaji penjawat awam minimum lebih 13 peratus seperti dilakukan kerajaan persekutuan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbirannya bakal mengkaji keputusan itu dengan mengambil langkah bersesuaian bagi menyelaras tatacara kewangan sedia ada susulan kenaikan tersebut.

“Pasti akan berlaku kenaikan (gaji penjawat awam negeri). Bermula minimum lebih 13 peratus sebagaimana perdana menteri sebut. Pada Disember saya akan maklumkan (perincian).

“Kita akan selaras semula setelah pekeliling dikeluarkan sesuai peningkatan gaji penjawat awam (peringkat persekutuan). Setakat ini pekeliling belum dikeluarkan,” katanya.

Bercakap dalam sidang media di sini hari ini, Amirudin menambah peningkatan gaji peringkat negeri perlu menjadi pedoman dan dorongan penjawat awam untuk memperkukuh produktiviti kerja.

Dalam pada itu, katanya, pengumuman perdana menteri melibatkan gaji sektor awam wajar disambut sektor swasta supaya pendapatan rakyat di seluruh negara terus meningkat.

“Ini bagi menjadikan Malaysia antara negara berpendapatan paling tinggi di rantau ini, sekali gus mengatasi cabaran kos sara hidup yang meningkat terutama di negara-negara maju,” katanya.

Kelmarin, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini, tertinggi dan dalam sejarah negara dengan peruntukan lebih RM10 bilion.


Pengarang :