Penyokong mengambil gambar bersama mural wajah Faisal Halim ketika tinjauan di luar stadium ketika perlawanan antara Selangor FC dan KDA FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada 18 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Semangat, motivasi ditunjuk Faisal percepat proses pemulihan

SHAH ALAM, 30 MEI: Semangat dan motivasi yang ditunjukkan Faisal Halim membantu pemain Selangor FC itu pulih lebih cepat, kata EXCO sukan.

Mohd Najwan Halimi berkata pemain sayap Harimau Malaya itu berada dalam keadaan lebih baik dan doktor menganggarkan jangka masa pemulihansekurang-kurangnya enam bulan

EXCO Keusahawanan Najwan Halimi pada majlis perasmian Program Selangor 1000 Digital Siri 1 yang diadakan di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 30 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Faisal sedang menjalani proses pemulihan di rumah. Pengurusan Selangor FC akan memantau proses pemulihan dari semasa ke semasa. Alhamdulillah Faisal seorang individu yang kuat semangat. Sikap positif membantunya pulih lebih awal.

“Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah juga menyatakan komitmen untuk bantu rawatan susulan dan Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha bagi mempercepat proses rawatan Faisal,” katanya selepas merasmikan program Selangor 1000 Digital di Pusat Konvensyen MBSA di sini, hari ini.

Beliau turut memohon rakyat Selangor sama-sama mendoakan Faisal segera sembuh dan boleh menyarung semula jersi Selangor dan Malaysia.

Pada 5 Mei, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal atau dikenali sebagai Mickey cedera akibat disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Faisal yang mengalami lecur tahap empat memasuki fasa pemulihan baharu iaitu rawatan rekonstruktif melibatkan pembaikan dan pemulihan struktur badan.

Pada 25 Mei, Faisal yang juga pemain kebangsaan dibenarkan keluar hospital selepas dirawat 20 hari. Malah, doktor pakar turut menyifatkan pemulihan Faisal sebagai amat luar biasa dan mejangkaui jangkaan semua pihak.

 

 


Pengarang :