Bangunan Kementerian Luar Negara di Putrajaya. Foto Arkib Selangorkini
AGENDANASIONAL

Sembilan rakyat Malaysia cedera insiden pesawat Singapore Airlines mendarat cemas

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Sembilan rakyat Malaysia termasuk seorang kru cedera dalam pesawat Singapore Airlines (SIA) penerbangan SQ321 dari London ke Singapura.

Perkara itu disahkan Kementerian Luar (Wisma Putra) melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Thailand.

Pesawat itu terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok petang semalam.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu berkata sembilan rakyat Malaysia dalam penerbangan SIA itu kini menerima rawatan akibat kecederaan.

Wisma Putra berkata sejumlah 16 rakyat Malaysia berada di dalam penerbangan itu dengan kedutaan giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan dan hospital yang berkenaan dan sedang menghulurkan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia terlibat.

“Pada masa ini, enam rakyat Malaysia dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin dan tiga lagi di Hospital Samitivej Sukhumvit.

“Menurut kedua-dua hospital, semua mangsa rakyat Malaysia yang terlibat mengalami kecederaan fizikal dan dalaman dan seorang rakyat Malaysia cedera kritikal tetapi stabil,” katanya.

Wisma Putra berkata rakyat Malaysia yang cedera berada di bawah pengawasan di wad secara berasingan dan sedang menunggu laporan perubatan.

Kementerian itu turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mendoakan agar semua mangsa yang cedera cepat sembuh.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok di alamat kedutaan di Kronos Sathorn Tower Level 17, 46 North Sathorn Road, Silom Bang Rak, Bangkok.

Kedutaan juga boleh dihubungi melalui talian +66-2340-5731/5732 (waktu pejabat) atau +66-87-028-4659 (selepas waktu pejabat) dan e-mel: [email protected].

Penerbangan SQ321 dengan 211 penumpang dan 18 kru itu dalam penerbangan dari London ke Singapura apabila ia menghadapi gelora udara yang tiba-tiba dan ekstrem di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 11,277.6 meter kira-kira 10 jam selepas berlepas.

Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat Boeing 777-300ER ke Bangkok, mendarat pada 3.45 petang waktu tempatan.

Insiden itu menyebabkan seorang maut dan beberapa lagi cedera. Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi Kittipong Kittikachorn sebelum ini berkata mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah seorang lelaki Britain berusia 73 tahun.

– BERNAMA


Pengarang :