Orang ramai mendengar Daurah Afkar Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali disampaikan oleh bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANRENCANAWAWANCARA

Seminggu bersama ulama, festival turath kupas kitab Hadis 40

Lebih 20 ulama terkenal dan bijak pandai Islam termasuk dari Mesir, Thailand dan Indonesia sekali lagi berkumpul di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam bersempena Festival Turath Islami Selangor.

Berlangsung antara 26 Mei hingga 2 Jun, perhimpunan selama lapan hari itu menyaksikan pengajian lengkap kitab tersohor Hadis 40 karya Imam an-Nawawi, tokoh ulama ahli sunnah dan mazhab Syafie yang dikenali seluruh dunia.

Festival turath kali ini membuka peluang kepada peserta menadah kitab dalam lebih 30 sesi bersama tokoh agama terpilih, antaranya bekas Mufti Besar Mesir Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab.

Ketika festival pertama, antara 20-25 Mei 2023, beliau menghuraikan tema utama Ihya Ulumuddin, karya agung Imam al-Ghazali yang kini dalam proses penterjemahan kepada bahasa Melayu.

Kali ini, pertemuan tersebut mengangkat Hadis 40 yang dihurai oleh Dr Ali Jum’ah melalui karyanya yang sudah diterjemahkan 40 Hadis Imam Nawawi: Sebuah Huraian untuk Dunia Semasa.

Festival ini turut disertai ilmuwan Indonesia seperti Dr Said Aqil Siradj dan Dr Adi Hidayat. Baba Ghazali Ahmad, ulama pondok dari Pattani, Thailand turut berbicara. Ilmuan dari Malaysia dibarisi Datuk Dr Osman Bakar dan Mufti Selangor Dato’ Setia Prof Madya Dr Anhar Opir.

Pemilihan Imam an-Nawawi dan dua karyanya sebagai tema festival kali ini dibuat hasil cetusan fikiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Selain sesi pengajian, peserta berpeluang melihat manuskrip al-Quran dan kitab warisan Islam Alam Melayu dalam pameran di masjid negeri. Persembahan artis antarabangsa Abu Sha’ar Bro dari Syria antara tarikan baharu festival ini.

Wartawan ABDUL RAHIM SABRI, yang mengikuti hampir semua acara festival tahun lalu, mewawancara Pengarah Sekretariat Turath Farhan Affandi pada 13 Mei mengenai keistimewaan Festival Turath Islami Selangor tahun ini.

Bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah menyampaikan syarahan ketika Festival Turath Islami Selangor yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Apa hasil positif festival turath tahun lepas?

Festival Turath Islami Selangor yang dianjurkan tahun lepas meletakkan negeri dalam peta gerakan turath nusantara. Sejak penganjuran festival tersebut, boleh dikatakan kegiatan pengembangan turath kian rancak di Malaysia dan Selangor dilihat sebagai salah satu penggerak utama kegiatan mengembangkan warisan turun-temurun Islam.

Pada festival lalu, dianjurkan sesi pengajian kitab Ihya Ulumuddin yang dipimpin tokoh ulama dunia yang juga bekas Mufti Besar Mesir al-Imam al-Allamah Dr Ali Jum’ah. Kini, Selangor sudah mengorak langkah untuk mengembangkan pengajian kitab berbentuk tradisional di masjid-masjid di Selangor.

Festival tahun lalu juga mendapat maklum balas memberangsangkan daripada peserta dan tokoh jemputan. Hal ini dapat dilihat daripada banyak catatan di media sosial sewaktu dan selepas festival.

Beberapa tokoh yang dijemput tahun lalu juga dengan sukacita menyatakan persetujuan untuk ikut serta dalam festival tahun ini, misalnya Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, Datuk Dr Mohd Nur Manuty dan Sahibus Samahah Mufti Selangor sendiri, Dato’ Setia Prof Madya Dr Anhar Opir. Dari luar negara, antara yang hadir buat kali kedua ialah Baba Ghazali Ahmad dari Pattani dan Kiai Dr Said Aqil Siradj.

 

Pemilihan tema festival turath tahun ini idea siapa?

Festival tahun ini mengangkat salah seorang ulama terulung mazhab Syafie, Imam an-Nawawi dan dua karya beliau, iaitu kitab himpunan Hadis 40 dan Riyadhus Solihin. Imam an-Nawawi dan karyanya terpilih sebagai tema festival hasil cetusan buah fikiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

 

Apa program tambahan menarik festival tahun ini?

Berbanding festival yang lalu, pada tahun ini lebih banyak acara akan dilangsungkan, iaitu pada kadar hampir sekali ganda lebih banyak acara berbanding tahun lalu.

Selain lebih banyak sesi pengajian kitab, festival ini juga diisi oleh persembahan artis antarabangsa Abu Sha’ar Bro dari Syria dan malam Darul Ehsan Berselawat yang menampilkan kumpulan Majelis Azzahir dari Pekalongan, Indonesia.

Farhan Affandi

 

Boleh ceritakan pemilihan syarah kitab Hadis 40 oleh Dr Ali Jum’ah?

Kitab Hadis 40 karya Imam an-Nawawi adalah salah sebuah kitab paling masyhur dalam sejarah keilmuan Islam. Beliau mengumpulkan 42 hadis tentang kaedah-kaedah penting agama termasuk berkaitan iktikad, fiqh dan akhlak.

Sebelum dan selepas kewafatan Imam an-Nawawi, ramai ulama menyusun buku berbentuk Hadis 40 dengan pelbagai tema. Tapi karya Imam an-Nawawi ini sejak dahulu hingga sekarang tersebar luas menerusi pengajian di pusat pendidikan tradisional dan moden.

Ibarat pepatah Melayu, tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Kitab ini juga telah diajar di Malaysia sejak sekian lama, justeru rata-rata muslim yang belajar di madrasah, universiti mahupun masjid pernah mendengar hadis-hadis terkumpul dalam kitab ini.

Kandungannya penting serta dekat dengan masyarakat muslim sedunia termasuk di tanah air kita. Syarah oleh Dr Ali Jum’ah ini tentunya memberi nilai tambah tersendiri, sementelah latar belakang beliau selaku bekas Mufti Besar Mesir dan ulama yang berpengalaman luas dalam keilmuan Islam.

Hadis-hadis yang terkandung dalam kitab Hadis 40 bersifat sejagat, merentasi masa dan zaman. Kaedah-kaedah beragama bersifat tetap, adapun penghayatannya boleh kita sesuaikan dengan konteks hari ini tanpa melanggar ketetapannya. Misalnya hadis pertama yang cukup terkenal: “Setiap amalan bergantung dengan niat.”

Dahulu hingga sekarang niat tetap penting bukan sahaja dalam amal ibadat, malah juga kegiatan seharian termasuk jual beli hingga kes-kes jenayah. Malah dengan kemajuan bidang psikologi sosial hari ini, niat juga didapati memberi dampak dalam tingkah laku dan budaya kerja seseorang.

 

Apa tumpuan menarik pameran pada festival turath kali ini?

Selain sesi pengajian kitab dan acara persembahan keislaman yang telah disebutkan, festival kali ini juga akan diisi dengan pameran “Al-Wahyu: Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu” yang menampilkan, antara lain, sejumlah mushaf Quran tulisan tangan kuno yang dibawa khas dari Narathiwat, Thailand, kitab-kitab warisan Islam alam Melayu serta peralatan yang digunakan untuk penerbitan kitab tua dan juga artifak berkaitan ilmu yang terkandung dalam kitab-kitab lama.

 

Berkenaan konsert Abu Sha’ar Bro, apa yang menarik dan latar belakangnya?

Abu Sha’ar Bro adalah kumpulan seniman lagu Islami ternama nombor satu di tanah Arab. Kumpulan ini telah mengadakan persembahan di pelbagai pelusuk dunia dan kali ini mereka dibawakan khusus untuk santapan rohaniah rakyat Malaysia dan juga seluruh peserta festival.

 

Apa jangkaan penganjur untuk festival turath tahun ini?

Lebih banyak pengunjung dan peserta akan hadir pada tahun ini memandangkan nama baik Festival Turath Islami Selangor telah semakin tersebar sehingga semakin banyak orang di dalam dan luar negara menjadi tertarik untuk ikut serta.

Sepanjang tempoh festival tahun ini, dijangkakan ratusan ulama dan puluhan ribu peserta dari seluruh pelosok Nusantara akan hadir ke Shah Alam — kehadiran yang pasti membawa rahmat dan berkat tidak terhingga kepada Selangor dan sekali gus Malaysia.

Seramai 22 tokoh tempatan dan luar negara akan hadir sebagai tetamu jemputan pada kali ini dan sebahagian besarnya nama tersohor. Selain nama-nama yang disebutkan di atas tadi, akan turut hadir Habib Ali Zaenal Abidin, Ustaz Dr Adi Hidayat, Habib Jindan Novel dan Ustaz Muhadir Joll.

Sebanyak 30 sesi akan berjalan sepanjang lapan hari festival ini berlangsung. Salah satu acara paling istimewa adalah Daurah Hadis Empat Puluh di mana hadirin akan amat beruntung mendapat peluang mengaji dan meneliti kitab karangan Imam Nawawi dengan ulama besar dunia al-Imam Dr Ali Jum’ah. Singkatnya, ini adalah peluang untuk semua hadirin menjadi penuntut salah seorang ulama terbaik dalam sejarah.

 

Bagaimana mendapatkan maklumat lanjut festival turath tahun ini?

Maklumat lanjut tentang festival ini boleh dicapai di laman web www.turathislamiselangor.com

 

Tokoh ulama dari Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan pengajian secara membaca sempena talaqqi kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali pada Festival Turath Islami Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, Shah Alam pada 1 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

 

 

 


Pengarang :