Bantuan alternatif melalui lori tangki mula digerakkan kepada pengguna dengan keutamaan untuk premis kritikal susulan henti tugas LRA Langat 2 pada 11 Ogos 2022. Foto Facebook Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Senggara loji 5 Jun, empat stesen pengisian air dibuka

SHAH ALAM, 20 MEI: Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) akan melalui proses selenggara dan penggantian aset mulai 9 pagi dan dijangka siap jam 7 malam pada 5 Jun.

Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), kerja tersebut menyebabkan masalah penyaluran bekalan air di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Justeru, Air Selangor menggerakkan lori tangki air ke kawasan terlibat dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Bagi pelanggan komersial, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan Air Selangor .

“Mereka juga boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di empat stesen pengisian air yang akan dibuka di Breamer Estet (Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (Sepang), serta Taman Banting Baru (Kuala Langat),” tulisnya di Facebook.

Kenyataan itu menyebut pengguna dijangka menerima bekalan secara berperingkat mulai jam 3 pagi pada 6 Jun setelah kerja tersebut selesai dan sistem agihan utama bekalan distabilkan.

Air Selangor juga menasihatkan pelanggan terjejas supaya menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor melalui talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/


Pengarang :