Jemaah haji wanita kumpulan pertama melambaikan tangan sebelum berlepas ke tanah suci dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 tengah malam 8 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Seramai 62 jemaah haji dirawat, kebanyakan punca jangkitan paru-paru

MAKKAH, 31 MEI: Seramai 62 jemaah haji Malaysia kini sedang menerima rawatan di Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) dan Hospital Arab Saudi di sini disebabkan pelbagai masalah kesihatan, kata Ketua Rombongan Haji 1445H/2024 Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, 10 orang jemaah dirawat di Hospital Arab Saudi, manakala selebihnya di Pusat Rawatan TH Makkah akibat pelbagai penyakit terutama jangkitan paru-paru (pneumonia) dan penyakit lain seperti berkaitan haba dan cuaca selain darah tinggi serta kencing manis.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menasihati bakal jemaah haji yang belum berlepas dari Malaysia supaya mengambil suntikan pneumonia dan influenza selain meningitis yang diwajibkan.

“Jadi saya ingin mengingatkan bakal-bakal jemaah haji supaya mengambil berat tentang suntikan berkenaan kerana ia juga dapat membina imunisasi di dalam badan mereka untuk menghadapi keadaan ketika ini di mana ramai jemaah yang dimasukkan ke hospital adalah disebabkan penyakit jangkitan paru-paru,” katanya kepada petugas media di sini hari ini.

Sementara itu bagi jemaah yang telah berada di Tanah Suci pula, mereka diingatkan agar terus menjaga kesihatan dan mengamalkan pemakaian pelitup hidung dan mulut setiap masa berikutan cuaca panas dan bilangan jemaah haji yang semakin ramai ketika ini.

Syed Saleh dalam masa yang sama turut mengingatkan kepada jemaah haji untuk menjaga kesihatan masing-masing dan mendapatkan rawatan ke klinik dengan kadar segera sekiranya tidak sihat.

“Bagi mereka yang telah dijangkiti dan kurang sihat, saya tekankan agar jemaah pergi ke klinik di maktab yang telah disediakan untuk mendapat rawatan awal agar penyakit tidak melarat,” katanya.

Sementara itu seramai 21,517 jemaah haji atau 68 peratus daripada keseluruhan 31,600 jemaah sudah tiba di Tanah Suci Makkah setakat semalam (30 Mei) termasuk jemaah yang tiba dari Madinah.

Beliau berkata pada masa yang sama sebanyak 70 daripada 100 penerbangan juga sudah selamat sampai di Madinah dan Makkah dengan 38 penerbangan menggunakan pesawat Malaysia Airlines dan 32 lagi menggunakan pesawat Saudia Arabia.

“Kesemua 47 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah sudah selesai dengan penerbangan terakhir iaitu KT51 tiba di Madinah pada 25 Mei lepas,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :