Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor memeriksa sebuah lori kontena yang memuatkan ratusan liter diesel bersubsidi dipercayai diseleweng sindiket di kawasan lapang sekitar Pulau Meranti, Puchong pada 15 Mei 2024. Foto Facebook KPDN Selangor
AGENDANASIONAL

Sindiket seleweng diesel bersubsidi tumpas, nilai rampasan lebih RM200,000

PUCHONG, 15 MEI: Cubaan satu sindiket untuk menyeleweng minyak diesel bersubsidi menggunakan flexi bag, tumpas apabila taktik itu dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, melibatkan nilai rampasan RM211,560 di sekitar Pulau Meranti, Puchong, di sini malam tadi.

Pengarahnya Mohd Zuhairi Mat Radey berkata serbuan melibatkan rampasan keseluruhan bahan api disyaki diesel sebanyak 98,400 liter itu, merupakan hasil aduan orang awam dan risikan yang dilakukan selama dua minggu.

“Serbuan pada kira-kira 10 malam tadi dijalankan dengan kerjasama Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Mohd Zuhairi berkata ketika serbuan, sebuah lori tangki dan kontena sindiket itu ditempatkan di kawasan lapang dan kontena tersebut diisikan dengan flexi bag yang mengandungi 70,000 liter (l) minyak diesel, yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan.

“Mereka ini dipercayai sindiket menjual minyak kepada industri (kilang-kilang) dan semua yang diseleweng ini, diperoleh secara runcit daripada beberapa stesen minyak sekitar sini menggunakan lori bonded sebelum dipindahkan ke sebuah lori tangki dan kontena terbabit,” katanya dalam sidang media di lokasi serbuan, di sini, hari ini.

Mohd Zuhairi berkata empat individu berusia lingkungan 43 hingga 45 tahun, terdiri daripada dua pemandu dan dua kelindan lori ditahan ketika sedang mengepam minyak diesel berkenaan ke dalam lori tangki ketika serbuan.

“Hasil soal siasat, kesemua suspek gagal mengemukakan lesen atau permit bagi menyimpan minyak diesel berkenaan dan ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“KPDN turut menyita sebuah lori tangki mengandungi 27,000l minyak diesel, sebuah lori bonded yang diubah suai mengandungi dua tangki berisi 1,400l diesel, kontena mengandungi 70,000l diesel, dan pelbagai peralatan bagi menyedut dan memindahkan diesel,” katanya.

Mohd Zuhairi berkata, sindiket tersebut dikesan beroperasi sejak dua bulan lalu dan kini siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan rangkaian sindiket tersebut.

“Hasil siasatan awal pihak kami mendapati potensi kesalahan adalah mengikut Seksyen 21 AKB 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Turut hadir di lokasi serbuan, Ketua Penolong Pengarah WCB/PSK Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman ACP Sulizmie Affendy Sulaiman.

— BERNAMA

 


Pengarang :