Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao (kiri) bersama Pengerusi Barisan Nasional Hulu Selangor Dato’ Mohd Isa Abu Kassim (kanan) melakukan senamrobik bersama murid tadika Little Da’ie pada Walkabout di sekitar Oasis Batang Kali pada 03 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Sokongan penduduk tambah semangat calon Kerajaan Perpaduan berkempen

HULU SELANGOR, 3 MEI: Sokongan baik penduduk setempat terus menambah semangat calon Kerajaan Perpaduan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu untuk berkempen .

Memulakan kempen hari ketujuh sekitar Oasis Batang Kali, Pang Sock Tao, 31, meluangkan masa bertemu hampir 50 murid di Tadika Little Da’ie dan beramah mesra bersama ibu bapa.

Diiringi Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin dan Pengerusi Barisan Nasional Hulu Selangor Dato’ Mohd Isa Abu Kassim, beliau turut melakukan aktiviti senamrobik bersama murid-murid tersebut.

Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao (tengah) bersama Pengerusi Barisan Nasional Hulu Selangor Dato’ Mohd Isa Abu Kassim bergambar bersama guru-guru tadika Little Da’ie pada Walkabout di sekitar Oasis Batang Kali pada 03 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Ditemui pemberita, Sock Tao berkata beliau mahu mengekalkan momentum sepanjang tempoh berkempen untuk bertemu seramai mungkin penduduk DUN Kuala Kubu Baharu.

“Untuk kekal bertenaga setiap hari, saya amalkan pengambilan makanan berkhasiat dan tambahan seperti vitamin selain banyak minum air kosong,”katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal pilihan raya kecil di DUN berkenaan masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac selepas bergelut melawan barah beberapa tahun lalu.

Pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu ialah PRK ketujuh diadakan selepas pilihan raya umum ke-15. Seramai 40,226 pengundi berdaftar di DUN tersebut termasuk polis dan tentera.


Pengarang :