BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Terjemahan adikarya dunia buruan penggemar di pesta buku

Usaha Kerajaan Negeri menterjemah karya agung dunia sejak lapan tahun lalu sememangnya mendapat sokongan luar biasa penggemar buku, khususnya bertema agama dan sejarah.

Menerusi Siri Pencerahan Selangor, karya-karya terjemahan juga mencakupi tema sejarah negawaran, politik, biografi tokoh, sastera, sains, falsafah dan budaya laris di pasaran, khususnya di acara pesta buku.

Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menjayakan gerak kerja penterjemahan menerusi geran Kerajaan Negeri, selain bantuan agensi kerajaan persekutuan. Usaha itu pernah mendapat kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Melalui usaha sama dengan Media Selangor Sdn Bhd, IBDE menerbitkan 20 judul. Ia turut bekerjasama dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi menterjemah 20 jilid Ihya Ulumuddin, karya terpenting Imam al-Ghazali.

Karya terjemahan IBDE berjudul Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal (Martin Lings) menjadi buku paling mendapat sambutan hangat.

Karangan Lings, atau nama Islamnya Abu Bakar Sirajuddin, diusaha dengan kerjasama PPAS menukilkan hidup Rasulullah SAW berpandukan sirah terawal seperti sirah Ibnu Ishaq, Ibnu al-Tabari, Ibnu Hisham dan al-Waqidi yang usianya lebih 1,200 tahun.

Sementara itu terjemahan baharu diterbitkan dengan kerjasama Media Selangor, Hikayat Hayy bin Yaqzan: Manusia Asuhan Rusa turut menjadi tumpuan utama penggemar buku.

Karya klasik

Karya falsafah klasik karangan Abu Bakr Muhammad Ibnu Tufail membedah perbahasan mengenal Tuhan menggunakan akal. Karya ilmuan Andalusia itu mendatangkan kesan cukup besar kepada pemikiran Barat.
Satu lagi terjemahan baharu yang hangat ialah Detik-detik Akhir Empayar Utsmaniah, hasil kajian anak jati Turkiye M Sukru Hanioglu.

Terbitan usahasama Media Selangor itu membawa pembaca mengenali kekuatan, kelemahan dan ketahanan sebuah empayar Islam yang berada di ambang kejatuhan sebelum menemui makna tersembunyi daripada puing-puing runtuhan sejarahnya.

Diterjemah melalui kerjasama Akademi Pemikiran Turath Al- Mustanir, 40 Hadis Imam Nawawi: Sebuah Huraian untuk Dunia Semasa juga mendapat sambutan menggalakkan.

Pengurus Jualan dan Pemasaran Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) Ainunl Muaiyanah Muhammad Sulaiman menunjukkan buku terbitan IBDE sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 30 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Karangan bekas Mufti Besar Mesir Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Abdul Wahab itu digunakan sebagai teks utama untuk 12 sesi pengajian di Festival Turath Islami Selangor, antara 26 hingga 30 Mei.

Kitab huraian Ahli Majlis Tertinggi Ulama Universiti al-Azhar itu menumpukan nilai dibawa Rasulullah SAW dengan memperbetulkan salah faham masyarakat, misalnya perintah Allah untuk memerangi manusia supaya beriman.

Pencerahan kerohanian

Kitab karangan Imam al-Ghazali, Ramuan Kebahagiaan juga laris di pasaran. Kitab tasawuf oleh Hujjatul Islam itu sesuai sebagai panduan mengubah hidup bagi pencari kebahagiaan dan pencerahan kerohanian.

Terbit dengan kerjasama Media Selangor, Gelagat dan Ragam Orang Melayu terus dicari peminat. Ia merakam catatan pegawai British Sir Frank Swettenham semasa berkhidmat di Tanah Melayu pada abad ke-19.

Biografi khalifah ar-Rasyidin kedua Umar al-Khattab: Kebijaksanaan Sebagai Pedang karya asal Abbas Mahmud al-Aqqad juga antara yang menjadi perhatian.

Tulisan penulis hebat Mesir itu antara pelengkap kepada peminat sejarah awal perkembangan Islam. Ia membawa pembaca mengenal sisi lain di sebalik ketegasan sahabat Nabi Muhammad SAW itu.
Satu lagi terjemahan kisah tokoh Islam iaitu Salahuddin al-Ayubi: Raja Penakluk oleh John Man termasuk dalam carta naskhah dicari ulat buku.

Memperincikan liku dilalui tokoh muslim berbangsa Kurdistan itu, buku itu menjelaskan mengapa beliau terus dikagumi orang Barat sehingga hari ini.

Lagi terjemahan kitab agama, Penyucian Kalbu: Tanda-Tanda Penyakit Hati dan Penawarnya menarik pembaca. Tulisan Hamza Yusuf itu diolah daripada kitab Matharatul Qulub karangan tokoh sufi Muhammad Maulud Ya’qub.

Turut laris ialah terjemahan karangan Virginia Woolf bertajuk Kepada Rumah Api. Novel oleh wanita Inggeris itu dianggap antara sastera hebat abad ke-20.

Orang ramai melihat buku terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) ketika mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 30 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Semua judul buku terbitan IBDE berkenaan antara judul tumpuan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 antara 24 Mei hingga 2 Jun di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Terjemahan adikarya dunia itu boleh dibeli di reruai IBDE nombor 4053 hingga 4060 dari 10 pagi hingga 10 malam.

Menurut Eksekutif Jualan dan Pemasaran IBDE Mohammad Hakim Mohammad Hood, kira-kira 15,000 hingga 20,000 buku daripada lebih 80 judul ditawarkan kepada pengunjung sepanjang 10 hari PBAKL berlangsung.

Katanya, pembeli juga bakal menikmati diskaun di gerai IBDE antara 10 hingga 20 peratus, selain berpeluang memenangi cabutan bertuah dan hadiah istimewa.


Pengarang :