Presiden MSU Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid (tengah) menyaksikan pertukaran MoU antara Media Selangor Sdn Bhd yang diwakili Ketua Kluster Operasi dan Strategiknya Mohd Zulkifli Ismail (dua, kiri) dan Dekan Fakulti Sains Informasi dan Kejuruteraan (FISE) Prof Dr Adam Amril Jaharadak (dua, kanan) pada Majlis Penutup Ekspo Idea Regenaration (iReX) di Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), Shah Alam pada 24 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Usahasama Media Selangor – MSU sedia pelajar mahir pelbagai bidang

SHAH ALAM, 24 MEI: Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) memeterai usahasama dengan Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) bagi menyedia pelajar dengan kemahiran industri dalam pelbagai bidang.

Presiden MSU berkata kerjasama membabitkan pelajar Fakulti Sains Informasi dan Kejuruteraan (FISE) universiti itu bakal membantu kebolehpasaran graduan menerusi kepakaran disedia MSSB.

“Pemilihan kerjasama dengan MSSB dibuat berikutan MSSB mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang yang bersesuaian dengan pelajar FISE, terutamanya dalam grafik media.

“Saya percaya penglibatan MSSB akan membantu memperkasakan bakat pelajar khususnya di Selangor sekali gus membantu memperkembang industri media di negeri ini,” kata Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) disempurnakan Ketua Kluster Operasi dan Strategik MSSB Mohd Zulkifli Ismail dan Dekan FISE Profesor Dr Adam Amril Jaharadak, disaksikan Dr Mohd Shukri.

Program tersebut dianjur sempena majlis penutup Ekspo Penjanaan Semula Idea (iReX) yang dilaksana pelajar tahun akhir FISE khusus bagi mencungkil bakat pelajar dalam bidang inovasi dan teknologi.

Dalam pada itu Mohd Zulkifli yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif MSSB berkata pihaknya berbesar hati berikutan berpeluang menjalin kerjasama dengan MoU khususnya dalam pengurusan bakat.

Menurutnya MSSB juga sedang merangka peluang dan potensi dengan universiti tempatan lain sebagai insiatif strategik syarikat dalam jangka masa panjang sempena ulang tahun ke-15 organisasi media negeri.

”Pihak kami berbesar hati atas MoU ini dan saya yakin usahasama ini merupakan satu kerjasama strategik yang sangat baik antara universiti tempatan dan pihak industri.

“Untuk maklumat, tahun ini merupakan ulang tahun ke-15 MSSB dan ini merupakan inisiatif strategik yang telah kita rancang untuk jangka sederhana dan panjang iaitu untuk kita jalin kerjasama dengan universiti tempatan,” katanya.


Pengarang :