Ibu kepada kembar Palestin Wesam dan Naeem Abu Anza, yang dilahirkan semasa konflik antara Israel dan Hamas memeluk erat jenazah anaknya yang terbunuh dalam serangan itu di Rafah, Semenanjung Gaza pada 3 Mac 2024. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

10 kanak-kanak kudung kaki di Palestin setiap hari akibat perang

GENEVA, 26 JUN: Setiap hari, 10 kanak-kanak kehilangan satu atau kedua-dua kaki akibat genosid berterusan di Semenanjung Gaza, menurut Setiausaha Agung Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini.

Ketika sidang media di Suruhanjaya Penasihat UNRWA di Geneva, Lazzarini berkata: “Secara purata setiap hari 10 kanak-kanak hilang satu atau kedua-dua kaki mereka. Ini memberi gambaran tentang kehidupan yang dialami seorang kanak-kanak di Gaza.”

Memetik angka yang dikeluarkan Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), beliau menegaskan angka itu tidak termasuk “mereka yang hilang lengan dan tangan, dan kita mempunyai banyak lagi” kes seperti itu, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin.

“Ini bermakna kira-kira 2,000 kanak-kanak kudung selepas lebih 260 hari peperangan,” kata Lazzarini.

Sementara itu, Save the Children pada Isnin memaklumkan kira-kira 21,000 kanak-kanak gagal dikesan setakat ini.

Dalam kemas kini mengenai situasi di wilayah itu, Pesuruhjaya Tinggi UNRWA itu menyatakan bahawa sekitar 4,000 kanak-kanak dilaporkan hilang dan 17,000 lagi hidup tanpa pengawasan selepas hampir sembilan bulan perang.

Beliau turut mengecam serangan terbaharu ke atas sekolah yang dikendalikan oleh agensi PBB di Gaza.

Lazzarini turut memberi amaran bahawa agensi itu menghadapi krisis pembiayaan sejak Januari, apabila banyak negara menghentikan pembiayaan berikutan dakwaan palsu Israel mengenai 12 daripada 13,000 pekerjanya terlibat dalam serangan 7 Oktober.

“Kami mempunyai wang tunai hingga akhir Ogos.

“Agensi ini kekurangan kira-kira US$140 juta… untuk perbelanjaan hingga akhir tahun,” katanya semalam.

Mengulas mengenai situasi di Tebing Barat, Lazzarini menyuarakan kebimbangannya mengenai “situasi perang secara senyap sedang berlaku.”

“Jika bukan kerana peperangan di Gaza hari ini, Tebing Barat akan menjadi tajuk utama. Lebih daripada 500 orang telah terbunuh sejak 7 Oktober,” katanya.

– BERNAMA-WAFA


Pengarang :