Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon menyampaikan cek cura johan Anugerah Komuniti PJSSR 2023 bernilai RM 20,000.00 kepada wakil Persatuan Penduduk PJS 1 South Avenue ketika majlis Penyampaian Sumbangan Pasukan Keselamatan Kejiranan Petaling Jaya (PKKPJ) 2024 dan Penyampaian Hadiah “PJSSR Community Award” 2023 di Dewan Banquet MBPJ, Petaling Jaya pada 25 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

11 persatuan komuniti terima anugerah penghargaan MBPJ

PETALING JAYA, 26 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberikan anugerah kepada 11 persatuan komuniti yang melaksanakan inisiatif baik menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar pintar, mampan dan berdayatahan (PJSSR) 2030.

Datuk Bandarnya Mohamad Zahri Samingon berkata penilaian anugerah dibuat dengan mengambil kira tahap penglibatan komuniti di Petaling Jaya melaksanakan inisiatif mesra alam, kehijauan dan memupuk semangat kejiranan di kawasan mereka.

“Sebanyak 88 komuniti dinilai melalui PJSSR Community Database namun hanya 11 dipilih sebagai pemenang.

“Penilaian turut dibuat mengikut tahap penglibatan semua golongan seperti kanak-kanak, remaja, belia, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang memenuhi 17 matlamat pembangunan mampan,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan Pasukan Keselamatan Kejiranan Petaling Jaya (PKKPJ) 2024 di Dewan Banquet, MBPJ, di sini malam tadi.

Pada majlis itu, johan Anugerah Komuniti PJSSR 2030 dimenangi oleh Persatuan Penduduk PJS 1 South Avenue yang membawa pulang wang tunai RM20,000 serta trofi.

Persatuan Penduduk Kampung Tunku SS1 meraih naib johan sekali gus menerima hadiah wang tunai RM15,000 sementara tempat ketiga menjadi milik Persatuan Penduduk & Pemilik Rumah Damansara Utama (RM10,000).

Penerima anugerah dari lapan komuniti lain masing-masing menerima wang tunai sejumlah RM5,000.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penduduk PJS 1 South Avenue Ishak Salleh berkongsi usaha melaksanakan projek ‘urban farming’ menggunakan teknologi pintar di kebun komunti sejak 2016 membuahkan hasil hingga merangkul johan anugerah itu.

“Di kebun komuniti ini, pelbagai tanaman dihasilkan seperti sayur-sayuran, agro-box, ikan keli dan rock melon di Kebun Komuniti, Jalan Klang Lama hingga menjana pendapatan bulanan kepada ahli persatuan hingga RM1,500.

“Selain itu, kerjasama pasukan dan usaha berterusan dari ahli persatuan dari pelbagai latar belakang tanpa mengambil kira perbezaan agama, bangsa menjadi model kejayaan kami memenangi anugerah ini,” katanya.


Pengarang :