Anggota bomba memadamkan kebakaran 14 kontena mengandungi pelbagai barangan perindustrian di Pelabuhan Barat, Pulau Indah, Klang pada 8 Jun 2024. Foto JBPM Selangor
AGENDANASIONAL

14 kontena mengandungi pelbagai barangan terbakar di Pelabuhan Barat

SHAH ALAM, 8 JUN: Sebanyak 14 kontena mengandungi pelbagai barangan perindustrian di Pelabuhan Barat, Pulau Indah, Klang terbakar tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.40 tengah hari dan 24 anggota termasuk pegawai digerakkan bagi mengawal kebakaran.

“Kebakaran melibatkan 14 kontena berukuran 40 kaki (12.2 meter) di lokasi kejadian. Kerja mengalihkan kontena yang terbakar dilakukan pihak Pelabuhan Barat menggunakan kren.

“Antara kandungan dalam kontena berkenaan ialah kertas kraft tidak dilunturkan, mesin basuh, polimer vinil klorida, kayu pain serta peralatan dan acuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kebakaran itu yang berjaya dikawal pada 2.39 petang tadi tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

– BERNAMA


Pengarang :