Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu bercakap kepada media selepas majlis perasmian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Fest di Pasaraya Besar AEON Mall, Bukit Tinggi, Klang pada 29 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

18,642 petani, pekebun kecil mohon bantuan subsidi diesel

KLANG, 29 JUN: Sebanyak 18,642 permohonan bantuan subsidi diesel melibatkan petani dan pekebun kecil (BUDI Agri-Komoditi) diterima setakat ini.

Menteri pertanian dan keterjaminan makanan berkata pihaknya berharap lebih ramai petani dan pekebun kecil memohon bantuan di bawah inisiatif BUDI Madani itu.

“Kita harap ramai lagi akan memohon dan kementerian akan membantu mereka,” kata Mohamad Sabu dalam sidang media selepas merasmikan Fama Fest 2024@Selangor di sini, hari ini.

Inisiatif BUDI Madani yang dibuka sejak 28 Mei lalu adalah platform mengagihkan bantuan tunai subsidi diesel kepada pemilik kenderaan diesel melalui kategori BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi (petani dan pekebun kecil).

Dianggarkan 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak menerima BUDI Individu manakala kira-kira 400,000 petani dan pekebun skala kecil berkelayakan menerima manfaat daripada BUDI Agri-Komoditi.

Bagi pemohon individu yang gagal, mereka boleh membuat semakan permohonan serta mengemukakan rayuan menerusi laman sesawang BUDI Madani https://budimadani.gov.my.


Pengarang :