Anggota penguat kuasa ketika menjalankan operasi perobohan Kampung Sri Makmur, Gombak pada 27 Mei 2024. Foto Pentadbir Tanah Gombak
AGENSISELANGOR

21 penduduk asal Kampung Sri Makmur ditawar Rumah Selangorku

SHAH ALAM, 2 JUN: Seramai 21 keluarga setinggan asal Kampung Sri Makmur, Gombak ditawarkan rumah mampu milik pada harga subsidi RM65,000, kata setiausaha politik kepada Dato’ Menteri Besar.

Menjelaskan Rumah Selangorku Seri Temenggung itu berkeluasan 750 kaki persegi, A Rahim Ahmad Kasdi memberitahu penduduk berkenaan juga menerima bayaran kos pemindahan rumah RM1,000.

Katanya, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor mengeluarkan surat tawaran pada 21 Mei kepada penerima yang disahkan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak hasil bancian 2006 dan 2016.

“Penyelesaian yang dicapai bukti Kerajaan Negeri melaksanakan proses dengan cermat supaya sekurang-kurangnya penduduk setinggan asal Kampung Sri Makmur mempunyai hak kepada rumah yang dimiliki sendiri,” katanya.

Rahim juga mendedahkan isu kampung berkenaan gagal ditangani pentadbiran negeri sebelum ini yang diketuai Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan dibantu Hilman Idham selaku pegawai khasnya.

Katanya, penduduk dibiar dalam keadaan tidak tentu ekoran penyelesaian gagal dicari pada 2016 sebaliknya Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin merancang untuk membangunkan kawasan itu.

Beliau berkata Amirudin yang memimpin mulai 2018 memutuskan supaya tanah tersebut dibangunkan secara tersusun, justeru Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjualnya pada 2020.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri berikhtiar penduduk asal setinggan Kampung Sri Makmur menikmati peluang memiliki rumah sendiri selepas menetap dalam keadaan setinggan untuk tempoh lama,” katanya.

Rahim berkata Majlis Perbandaran Selayang, PTG Gombak dan PKNS kemudian diarah menyemak senarai bancian untuk mengenal pasti penduduk asal bagi mengelakkan mana-mana pihak mengambil kesempatan.


Pengarang :