EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim melihat rekahan tanah yang mengeluarkan asap berbau pada tapak sampah haram ketika Operasi Terjah Tapak Sampah Haram dalam kawasan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Bandar Mahkota Cheras, Hulu Langat pada 24 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

215 kes buang sampah haram dikesan, PBT diseru ambil tindakan tegas

HULU LANGAT, 24 JUN: Kerajaan Selangor berjaya mengesan 215 aktiviti pembuangan sampah haram sejak 2018 hingga tahun lalu.

EXCO kerajaan tempatan berkata kejayaan itu hasil penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah, Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Alam Sekitar.

Menurut Dato’ Ng Suee Lim, hasil pemantauan dan penguatkuasaan berterusan, jumlah itu semakin menurun dan kini hanya 57 lokasi yang masih wujud.

“Itu angka yang kita berjaya kenal pasti, saya percaya masih ada banyak lagi kegiatan haram ini berlaku di sekitar negeri ini yang mungkin disembunyi daripada pandangan kita.

“Bagaimanapun, saya menyeru pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Daerah serta agensi berkaitan untuk memantau aktiviti haram ini supaya dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika operasi terjah tapak sampah haram Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Bandar Mahkota Cheras di sini hari ini.

Keadaan tasik yang dicemari sampah ketika tinjauan Operasi Terjah Tapak Sampah Haram dalam kawasan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Bandar Mahkota Cheras, Hulu Langat pada 24 Jun 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Suee Lim juga menyeru PBT tidak mengeluarkan kompaun kepada sindiket haram itu sebaliknya mengenakan hukuman lebih berat seperti sitaan atau pendakwaan di mahkamah.

“Kompaun adakalanya mereka tidak serik tetapi sekiranya kita menyita jentera atau lori digunakan sindiket ini atau dakwa di mahkamah mungkin akan beri kesan.

“Saya turut memberi amaran kepada individu yang melakukan aktiviti sampah haram ini agar patuhi undang-undang buang sampah di tempat yang betul sekiranya tidak mahu dikena tindakan,” katanya.

Terdahulu, Suee Lim melakukan pemantauan bersama Majlis Perbandaran Kajang, Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Alam Sekitar.

Beliau juga bercadang untuk memasang kamera litar tertutup di kawasan yang disyaki dijadikan tapak pembuangan sampah haram.

“Kita turut meminta kerjasama orang awam sekiranya ada maklumat atau bukti berkaitan aktiviti haram ini agar maklumkan kepada agensi berkaitan untuk diambil tindakan,” katanya.


Pengarang :