Kebakaran lebih 40 hektar ladang sawit di Kampung Bukit Jeruk, Jertih berikutan musim panas sejak awal Mei lalu mengakibatkan kerugian jutaan ringgi kepada pekebun. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

40 hektar ladang sawit terbakar, pekebun rugi jutaan ringgit

JERTIH, 8 JUN: Kebakaran lebih 40 hektar ladang sawit di Kampung Bukit Jeruk di sini berikutan musim panas sejak awal Mei lalu, mengakibatkan kerugian jutaan ringgi kepada pekebun.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Jeruk, Mohd Rukmi Mat Ghani berkata tanah gambut menyebabkan api sukar dipadam sepenuhnya kerana bara api masih berada di dalam tanah dan terus merebak terutama ke permukaan tanah kering.

“Api boleh menyala dengan tiba-tiba sekali gus membakar pokok sawit namun cuaca hujan sekali sekali sejak kebelakangan ini dapat membantu mengawalnya dari terus merebak. Bagaimanapun, banyak tempat masih kelihatan berasap,” katanya di sini hari ini.

Mohd Rukmi berkata akibat kejadian itu, banyak pokok sawit dilaporkan tumbang akibat terbakar pada bahagian pangkal dan akar.

“Sekiranya hujan lebat berterusan, sudah tentu dapat membantu memadam sepenuhnya api di dalam tanah,” katanya.

Beliau berkata lebih merumitkan keadaan adalah apabila sebahagian besar pemilik ladang sawit di situ tinggal di pelbagai lokasi lain di daerah berkenaan.

Kebakaran itu katanya menyebabkan mereka hilang punca pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan dalam sekelip mata.

Pihaknya berharap ada bantuan untuk pekebun terjejas susulan kejadian itu daripada kerajaan, khususnya bagi mereka yang bergantung sepenuhnya pada hasil kebun sawit.

Bulan lalu pihak bomba dilaporkan telah berusaha memadam kebakaran di kawasan terbabit namun berdepan kesukaran disebabkan faktor tanah dan muka bumi.

– BERNAMA


Pengarang :