Orang ramai menyaksikan Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2023 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 8 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

59 pemain negara beraksi di Kejohanan Golf Selangor Masters

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Ervin Chang dan Galven Kendall Green antara pemain golf Malaysia yang mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Golf Selangor Masters 2024 yang akan bermula esok hingga 22 Jun ini di Kelab Golf Seri Selangor (KGSS), Petaling Jaya.

Menurut KGSS dalam kenyataan hari ini, daripada 144 peserta, seramai 59 pemain Malaysia bakal beraksi, merangkumi 40 pemain daripada Jelajah Toyota dan bakinya yang layak menerusi Jelajah Pembangunan Asia (ADT) atau bermain secara jemputan dalam kejohanan-kejohanan berkenaan.

Sementara itu Ervin yang menampilkan prestasi kurang memberangsangkan baru-baru ini dan gagal melayakkan ke Nam A Bank Vietnam Masters minggu lepas, berkata beliau berasa yakin bermain di tempat sendiri di satu daripada padang golf kegemarannya.

“Saya sebenarnya bermain dengan baik minggu lepas di Vietnam, namun sedikit tersasar daripada kelayakan. Saya sedang mencuba beberapa perkara baharu…secara keseluruhannya saya agak yakin dengan permainan saya dan tidak sabar untuk beraksi dalam acara ini,” katanya dipetik dalam kenyataan sama.

Antara pemain Malaysia lain yang bakal beraksi dalam kejohanan itu termasuk juara 2022 Shahriffuddin Ariffin, pemenang Jelajah Asia Danny Chia dan Nicholas Fung dan bintang meningkat naik Marcus Lim dan Khavish Varadan.

-BERNAMA

 


Pengarang :