Ahli Dewan Negeri Seri Setia Dr Fahmi Ngah (tengah) bergambar bersama guru dan pelajar ketika menyerahkan sumbangan alat tulis dan air kotak kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sunway, Subang Jaya pada 29 Januari 2024. Foto Facebook Dr. Fahmi Ngah
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN Seri Setia tawar ganjaran wang tunai rai pelajar cemerlang SPM

SHAH ALAM, 12 JUN: Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia diberi ganjaran wang tunai bagi meraikan kejayaan mereka.

Wakil rakyatnya di Facebook memaklumkan permohonan hadiah kecemerlangan itu dibuka sehingga 30 Jun kepada pelajar yang mendapat keputusan sekurang-kurangnya 5A.

Menurut Dr Mohammad Fahmi Ngah, Pusat Khidmat Masyarakat DUN itu menawarkan RM150 bagi keputusan 5A, RM200 (6A), RM250 (7A), RM300 (8A), RM350 (9A) dan RM500 bagi 10A.

Syarat kelayakan adalah salah seorang ibu atau bapa adalah pengundi DUN itu selain menyertakan dokumen asal dan salinan keputusan SPM, kad pengenalan pelajar, ibu serta bapa.

Untuk temu janji pengesahan di pusat khidmat masyarakat DUN boleh hubungi talian 018-2060 359 (WhatsApp).

Seramai 11,713 calon SPM 2023 memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Pencapaian calon tahun ini juga lebih baik apabila merekodkan Gred Purata Nasional (GPN) 4.60 berbanding 4.74 tahun sebelumnya.

 


Pengarang :