Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj berucap ketika majlis pelancaran kempen Bersih dan Hijau DUN Sentosa di Lorong Dato’ Yusof Shahbudin 29A, Klang pada 16 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN temu rakyat perjelas cukai taksiran, PBT perlu beri khidmat terbaik

KLANG, 18 JUN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa mengambil pendekatan bertemu rakyat bagi memberi penjelasan berhubung kenaikan kadar cukai taksiran bermula 1 Januari 2025.

Dr G Gunaraj berkata penduduk perlu tahu tindakan menaikkan cukai taksiran adalah bagi memastikan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) memberikan perkhidmatan terbaik pada masa akan datang.

“Selain bertemu penduduk, saya juga dijemput untuk hadir ke taklimat berkaitan dengan cukai taksiran dua hari lalu dan berbincang dengan MBDK apa yang perlu dilakukan untuk memberi perkhidmatan terbaik.

“Sekiranya cukai taksiran dinaikkan, mesti ada penambahbaikan dalam perkhidmatan bukannya semakin merosot. Oleh itu, saya maklumkan kepada mereka antara penekanan diberikan berkaitan pengurusan sampah dan isu banjir.

“Penduduk akan terima sekiranya berlaku sedikit kenaikan namun MBDK perlu beri perkhidmatan terbaik dan baiki kemudahan awam,” katanya ditemui selepas merasmikan Kempen Clean and Green di sini kelmarin.

Warga Majlis Perbandaran Selayang (MPS) juga boleh melunaskan bayaran cukai taksiran di kaunter bergerak MPS. Foto Facebook Majlis Perbandaran Selayang

Dalam pada itu, beliau berkata penduduk boleh membuat bantahan dengan menghantar surat kepada MBDK.

“Penduduk mempunyai hak untuk membantah dengan menulis surat kepada pihak berkuasa tempatan. Mereka akan dipanggil ke mesyuarat yang diadakan pada tarikh ditetapkan kelak,” katanya.

Terdahulu, lapan pihak berkuasa tempatan tidak membuat semakan kadar cukai taksiran antara 20 hingga 40 tahun lalu.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) paling lama tidak menaikkan kadar itu selama 39 tahun sejak 1985, diikuti Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) 37 tahun sejak 1987 dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 32 tahun sejak 1992.

Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pula tidak menaikkan cukai taksiran selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway manakala kawasan USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pula selama 27 tahun sejak 1997, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) 28 tahun sejak 1996.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula tidak mengenakan sebarang peningkatan cukai taksiran selama 18 tahun sejak 2006.

Berdasarkan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), nilaian baharu boleh dibuat setiap lima tahun atau dalam tempoh lanjutan yang diputuskan Kerajaan Negeri.

Meski ada cadangan semakan jumlah cukai taksiran, pemilik hartanah boleh membuat bantahan kepada PBT masing-masing mengikut tarikh ditetapkan.

Pada 30 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan proses penilaian baharu yang dijalankan PBT penting demi memastikan keberkesanan perancangan bandar.

Menegaskan rumah kos rendah tidak dikenakan kenaikan meski menerima notis itu, beliau berkata semakan tersebut bertujuan mengetahui nilai dan mutu perbandaran sesebuah kawasan.

Katanya, pentadbiran negeri juga akan meneliti pelbagai faktor sebelum memberi kebenaran kepada PBT untuk membuat kenaikan ataupun sebaliknya.


Pengarang :