AGENDAJENAYAH

Ahli perniagaan rugi RM200,000 terpedaya sindiket jual motosikal di Facebook

SEREMBAN, 2 JUN: Ahli perniagaan kerugian hampir RM200,000 selepas terpedaya dengan sindiket penjualan motosikal dengan nombor pendaftaran pilihan melalui laman sosial Facebook baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata lelaki berusia 49 tahun itu mendakwa berurusan dengan individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp untuk tujuan tersebut.

“Mangsa membuat tujuh pembayaran kepada individu itu dari 24 hingga 28 Mei lalu dengan jumlah keseluruhan RM179,376 untuk pembelian tujuh unit motosikal berjenama Honda.

“Dia kemudian menyedari ditipu selepas tidak menerima motosikal yang dijanjikan sebelum membuat laporan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya kepada pihak yang menawarkan penjualan barangan secara dalam talian dengan harga rendah dan segera membuat semakan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

– BERNAMA


Pengarang :