Anggota penguat kuasa ketika menjalankan operasi perobohan Kampung Sri Makmur, Gombak pada 27 Mei 2024. Foto Pentadbir Tanah Gombak
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Anak bekas ketua kampung: Penduduk Sri Makmur tidak dizalimi, fakta dimanipulasi

SHAH ALAM, 5 JUN: Penduduk Kampung Sri Makmur, Gombak telah diberi tempoh secukupnya untuk berpindah yang menjangkau masa hingga 18 tahun, kata anak bekas ketua kampung tersebut.

Menolak dakwaan kononnya Kerajaan Selangor zalim mengusir penduduk dalam notis singkat, Khairul Ariffin Abd Manaf, 24, memberitahu makluman untuk berbuat demikian sejak 2006 lagi.

“Ini bukan seperti yang dicanang, Jumaat dapat duit (pampasan), Ahad rumah kena roboh. Seolah-olah menunjukkan Kerajaan Negeri zalim dan tidak memberi masa kepada penduduk.

“Sedangkan Kerajaan Selangor sudah memberi masa dari tahun 2006 hingga 2024. Sudah 18 tahun, takkan tempoh selama itu tidak sempat untuk berkemas?

“Inilah fakta yang saya rasa dimanipulasi dan saya patut ke depan untuk betulkan semua ini,” katanya yang turut menunjukkan dokumen Majlis Perbandaran Selayang bertarikh 13 Jun 2006.

Khairul Ariffin Abd Manaf, 24

Khairul Ariffin percaya masalah berkenaan tidak menjadi serumit sekarang jika penduduk asal bersetuju menerima pampasan dan meninggalkan setinggan tersebut sejak peringkat awal.

“Emak saya beli tanah TOL (pendudukan sementara) dari seorang individu bernilai belasan ribu ringgit pada 1998. Pada tahun sama juga bina rumah dengan kos sekitar RM30,000.

“Ketika notis pertama dikeluarkan (2006), kami terus bersetuju untuk terima pampasan, tidak panjangkan lagi cerita dan ikut arahan Kerajaan Negeri ketika itu.

“Semua ini tidak terjadi jika semua bersetuju terima pampasan pada 2006. Bukan mahu salahkan mana-mana pihak tapi sepatutnya tapak ini dikosongkan sebelum 2024,” katanya.

Baru-baru ini, beberapa pemimpin pembangkang dilihat cuba memainkan isu berkenaan meskipun mereka sebenarnya sebahagian daripada pentadbiran Kerajaan Selangor sebelum ini.

Mereka juga menjadikan al-Quran sebagai bahan politik apabila menuduh kakitangan kerajaan memusnahkan kitab suci itu ketika membuat kerja perobohan sedangkan ia dialih lebih awal.

Kerajaan Negeri juga ada menawarkan Rumah Selangorku pada harga subsidi RM65,000 dan sagu hati RM1,000 kepada 21 keluarga terlibat hasil bancian sebanyak dua kali iaitu 2006 dan 2016.


Pengarang :