Atlet para boling padang negara Hasmunirah Maliki (kiri) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 Jun 2024 selepas menyertai Kejohanan Boling Padang Dunia 2024 Afrika Selatan. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Atlet boling padang para wanita juarai kejohanan dunia di Afrika Selatan

SEPANG, 3 JUN: Atlet boling padang para wanita negara, Hasmunirah Maliki menyifatkan kejayaan muncul juara pada penampilan sulung dalam Kejohanan Dunia 2024 di Ekurhuleni, Afrika Selatan, baru-baru ini sebagai tuah menggantikan rakan sepasukan, Jariah Zakaria, yang menunaikan ibadah haji di Makkah ketika ini.

Hasmunirah mengakui sama sekali tidak menyangka dapat mengharumkan nama negara di kejohanan dunia lebih-lebih lagi selepas mendapat panggilan saat akhir menggalas tugas berat menggantikan Jariah, yang pernah memenangi gangsa Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China.

“Saya bersyukur dan tidak terkata selepas menang di Kejohanan Dunia. Agak mengejutkan juga dapat beraksi kerana saya dimaklumkan pasukan untuk menggantikan Jariah seminggu sebelum pertandingan bermula.

“Sebelum ini saya tiada pertandingan buat tempoh agak lama selepas beraksi pada kejohanan 3rd Asia Bowls Championship for the Disabled 2022 di Skudai, Johor. Latihan pula memang kurang namun stamina tetap ada,” katanya selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 dari Afrika Selatan di sini hari ini.

Atlet berusia 30 tahun itu muncul juara selepas mengungguli saingan liga kategori B2 (masalah penglihatan) dengan menang kesemua enam perlawanan dan mengumpul 12 mata diikuti wakil tuan rumah yang merangkul perak Michelle Eshun (9 mata) manakala Louise McLean dari Kanada pula membawa pulang gangsa (2 mata).

Atlet dari Terengganu yang mengalami penyakit glaukoma atau kerosakan saraf optik mendedikasikan pencapaian cemerlang tersebut kepada keluarga, rakan sepasukan dan Persatuan Boling Padang Orang Kurang Upaya Malaysia yang banyak menyokongnya selama ini.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Muhamad Ayub Mohd pula berkata pengorbanan berjauhan dengan keluarga serta pelaburan RM400 sebulan amat berbaloi selepas turut menempa nama di Afrika Selatan dengan menjuarai perseorangan lelaki B2 (masalah penglihatan).

Tukang urut berusia 41 tahun itu berkata pencapaian bergelar juara dunia dalam percubaan sulungya pada kejohanan tersebut juga merupakan kejayaan tertinggi dilakar selepas berkecimpung hampir dua dekad dalam sukan boling padang para sejak mewakili negara pada temasya Sukan FESPIK 2006.

“Rasa mahu menangis pun ada kerana pengorbanan dilakukan sebelum ini benar-benar berbaloi. Saya tiada pendapatan tetap, guna wang RM400 sebulan untuk kos pengangkutan berulang-alik ke tempat latihan di Bukit Kiara.

“Saya juga terpaksa melepaskan tanggungjawab berat dengan meninggalkan keluarga yang menguatkan lagi semangat untuk membawa pulang pingat di kejohanan dunia,” katanya.

Bapa kepada empat cahaya mata itu mengesahkan kejuaraan dengan menduduki tempat teratas kategorinya dengan 10 mata manakala wakil Hong Kong Kwok Wing meraih perak (9 mata) dan gangsa milik Ron Homer dari England (6 mata).

Malaysia turut membawa pulang gangsa perseorangan bercampuran B1 (masalah penglihatan) menerusi Mohd Zamrie Hasan yang menamatkan saingan di tempat ketiga (4 mata) di belakang wakil tuan rumah Michiel Kruger (8 mata) yang muncul juara dengan rakan sepasukannya Tracy Smith menyambar perak (6 mata).

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat pada Kejohanan Dunia adalah pada edisi 2004 menerusi kejayaan dua emas, satu perak dan satu gangsa.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang menyambut kepulangan mereka berkata ketiga-tiga atlet tersebut layak menerima ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dengan nilai imbuhan bakal ditentukan Majlis Sukan Negara.

– BERNAMA


Pengarang :