Orang ramai hadir tidak melapaskan peluang melihat tawaran pelbagai kediaman pada program Ekspo Hartanah Selangor di I-City Mall, Shah Alam pada 30 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

Bagaimana cukai taksiran dikira, jenis hartanah dan nilai semasa

Kadar cukai taksiran, atau cukai pintu, bagi setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) berbeza-beza bergantung pada nilai hartanah di sesuatu kawasan dan jumlah sewaan yang dianggarkan bagi setiap jenis hartanah.

Kawasan yang menjadi tumpuan pembangunan dan padat penduduk seperti Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam misalnya tentu lebih tinggi daripada Sabak Bernam atau Hulu Selangor.

Begitu juga jenis hartanah yang dibahagikan kepada pelbagai kategori misalnya kediaman dan perniagaan. Sementara bagi kategori kediaman, jenisnya berbeza-beza seperti teres, berkembar, bandar atau pangsapuri.

Pemandangan bandar raya Shah Alam (gambar hiasan). Foto Arkib Selangorkini

Cukai taksiran dikuatkuasakan bawah Seksyen 127 Akta Kerajaan Tempatan 1976. Ia boleh dinilai setiap lima tahun atau tempoh lebih lama selepas mendapat kelulusan Kerajaan Negeri.

Berdasarkan jawapan bertulis Dewan Negeri Selangor, pada 2017, MBSA mengenakan kadar cukai taksiran antara 2 hingga 7.5 peratus, sementara MBPJ pula 5 hingga 8.8 peratus

Bagi tahun sama, MBDK (sebelum ini MPK) mengenakan cukai antara 2.2 hingga 11.5 peratus, MPAJ 1.1 hingga 7.15 peratus, MBSJ (dahulu MPSJ) 2 hingga 8 peratus, MPS 4 hingga 12 peratus dan MPKj 2.2 hingga 11 peratus.

Sepang pula menggunakan kadar cukai 4 hingga 9.45 peratus, Kuala Langat dan Hulu Selangor masing-masing 1 hingga 14 peratus, dan MPKS (sebelumnya MDKS) 6 hingga 12 peratus.

Namun 12 PBT ini menggunakan kadar lama.

Seperti diumumkan EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim pada 29 Mei, Selangor menetapkan kadar maksimum 25 peratus cukai taksiran di semua PBT.

Jadual berikut menunjukkan contoh pengiraan jumlah cukai taksiran tahunan bagi tiga jenis hartanah termasuk kediaman dan bangunan. Cukai tersebut dikira menggunakan anggaran kasar sewa tahunan.

Jumlah sewaan itu pula ditetapkan Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta setiap pihak berkuasa tempatan. Kadar peratusan cukai diluluskan Kerajaan Negeri selepas menerima cadangan daripada PBT.

Cara kiraannya, sewa kasar setahun didarab dengan kadar cukai taksiran. Jumlah kiraan itulah cukai yang perlu dibayar penduduk kepada PBT setiap tahun. Cara pengiraan juga sama bagi cukai taksiran bangunan.

Namun bagi tanah kosong, ia tertakluk kepada nilai pasaran semasa. Misalnya keluasan tanah 5,000 meter persegi dan nilai pasaran semeter persegi adalah RM4,000. Ertinya, harga pasaran tanah tersebut RM2 juta.

Jika kadar cukai taksiran bagi tanah kosong ialah 5 peratus, RM2 juta didarab dengan kadar berkenaan. Jumlah cukai taksiran yang perlu dibayar adalah RM10,000.

Cukai tahunan juga boleh berbeza walau jenis hartanah itu sama kategori jika keluasan lantai telah diubah suai atau ditambah.


Pengarang :