Pendaki rakyat Malaysia Zulkifli Yusuf meninggal dunia pada 29 Mei 2024 ketika mendaki Gunung Denali, Alaska, Amerika Utara. Foto Facebook Kelab Alpine Malaysia
AGENDANASIONAL

Bedah siasat jenazah pendaki Malaysia dijangka hari ini

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Jenazah pendaki Zulkifli Yusuf yang kini berada di sebuah hospital Anchorage, Alaska dijadual menjalani proses bedah siasat hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Kelab Alpine Malaysia menerusi satu hantaran di Facebook.

“Selepas bedah siasat selesai, proses selanjutnya ialah mendapatkan dokumen yang diperlukan untuk urusan membawa jenazah kembali ke Malaysia, dibantu oleh Konsular General Malaysia di Los Angeles dan pihak syarikat insurans,” katanya.

Sementara itu, hantaran tersebut turut memaklumkan mengenai tahap kesihatan pendaki Zainudin Lot yang semakin baik dan dibenarkan keluar dari hospital di Talkeetna, Alaska pada Ahad.

“Sementara itu Muhammad Illaham Ishak masih menjalani rawatan di hospital di ⁠Anchorage. ⁠Wakil Kelab Jelajah Alpine Norsafrina Shamsir Md Nasir yang kini berada di Talkeetna, Alaska akan membantu urusan untuk mengambil peralatan mendaki yang kini masih berada di pergunungan Denali, yang perlu dikeluarkan oleh pihak berkuasa Taman Negara Denali,” katanya.

Sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Perhubungan Kelab iaitu Ayob Yahaya di talian 0173372696.

Semalam, Kelab Alpine Malaysia memaklumkan jenazah Allahyarham Zulkifli Yusof, 37, yang meninggal dunia ketika mendaki di Gunung Denali di Alaska dibawa turun dari lokasi kejadian pada 8.30 pagi, 1 Jun (waktu tempatan).

– BERNAMA


Pengarang :