Anggota polis trafik memeriksa motosikal ketika menjalankan Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur di Bukit Bintang pada 3 Julai 2023. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Berhenti petak kuning antara kesalahan dalam ops hormat, 13,138 saman dikeluarkan

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Sebanyak 13,138 notis saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan bagi Operasi Hormat Undang-undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur, sepanjang tempoh empat hari sehingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata antara kesalahan yang dilakukan ialah berhenti di petak kuning, tiada lesen memandu dan ubah suai struktur atau peralatan kenderaan.

Beliau berkata operasi itu melibatkan lebih 1,500 anggota dan pegawai polis serta agensi penguat kuasa lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Alam Sekitar.

“Antara kesalahan yang dilakukan ialah nombor pendaftaran fancy, tiada cermin sisi dan lampu brek tidak berfungsi. Polis turut menahan 30 individu dalam operasi sama dan menyita tiga kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa sebelum ini mengumumkan Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur akan dilancarkan bermula 4 hingga 15 Jun bertujuan meningkatkan keselamatan jalan raya dan menguatkuasakan peraturan lalu lintas di bandar raya ini.

– BERNAMA


Pengarang :