Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus (kanan), menunjukkan lokasi bot yang dinaiki empat nelayan yang dilaporkan terbalik di perairan Tanjung Segenting, Batu Pahat pada 22 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Bot nelayan terbalik: Aset udara ditambah, kawasan carian diperluas

BATU PAHAT, 22 JUN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan menambah aset udara serta meluaskan kawasan pencarian bagi mengesan empat nelayan yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot terbalik di perairan Tanjung Segenting, di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata Op Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) esok akan melibatkan pertambahan sebuah helikopter milik agensi berkenaan.

Beliau berkata kawasan pencarian juga akan diteruskan di kawasan pesisir pantai berdasarkan kedudukan bot yang semakin menghampiri kawasan pantai berbanding kawasan ia dilaporkan terbalik yang berada di tengah laut.

“Pencarian akan dilakukan di kawasan pesisir kerana keadaan geografi sekitar yang berlumpur dan juga berpaya. Ia juga berdasarkan keterangan daripada mangsa yang terselamat, di mana kesemua mereka sempat terjun ke laut sebelum bot terbalik.

“Peluang mangsa yang hilang untuk ditemui dalam keadaan selamat masih ada sekiranya mereka memakai jaket keselamatan atau berpaut pada objek terapung serta ditemui komuniti laut lain,” katanya pada sidang akhbar di Zon Maritim Batu Pahat, di sini hari ini.

Mohd Haniff berkata Op Carilamat dihentikan 7 malam tadi dan disambung semula 7 pagi esok.

Terdahulu media melaporkan empat nelayan warga tempatan berusia 51 hingga 63 tahun dilaporkan hilang setelah bot yang mereka naiki terbalik kira-kira 6.8 batu nautika barat daya Tanjung Segenting, manakala seorang lagi berjaya diselamatkan.

Kejadian 6 pagi semalam itu dipercayai berlaku apabila bot nelayan tersebut yang turun ke laut untuk memukat ikan dilanda ombak kuat akibat cuaca buruk.

Empat nelayan yang masih hilang adalah tekong bot Chia Kah Chong, 51, Raud Daud @ Hamid, 53, Tan Hai Lian, 62, dan Lee Pong Ling, 63, manakala mangsa yang selamat Tan Siak Bin, 43, ditemui bot nelayan yang berada berhampiran lokasi kejadian kira-kira 8 pagi semalam.

– BERNAMA


Pengarang :