AGENDANASIONAL

Bulan Pemutihan antara usaha galak majikan carum Perkeso

SHAH ALAM, 24 JUN: Pelaksanaan Bulan Pemutihan merupakan antara usaha kerajaan menggalakkan majikan mencarum skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) terhadap pekerja.

Menteri Sumber Manusia Sim Chee Keong berkata setakat 24 Jun seramai 13,525 majikan berdaftar menerusi program itu melibatkan 240,467 pekerja.

Menteri Sumber Manusia Sim Chee Keong

“Kita ambil pendekatan berhemah supaya majikan tampil daftar dan carum untuk pekerja mereka, kita tidak kenakan apa-apa tindakan.

“Ini satu kejayaan Perkeso dan kementerian, matlamat utama kita bukan nak menghukum sesiapa tetapi menyedia dan beri perlindungan sosial kepada pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan beberapa ahli parlimen ketika membahaskan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja di sidang Parlimen ke-15 hari ini.

Perkeso melaksanakan Bulan Pemutihan bermula 1 Mei hingga 30 Jun ini bagi memberi lebih peluang kepada majikan untuk mendaftarkan dan mencarum pekerja mereka secara sukarela.

Majikan akan dikecualikan daripada tindakan pengkompaunan, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) walaupun telah melewati tempoh mendaftar dan mencarum yang ditetapkan.

Chee Keong menambah, pihaknya juga melakukan pemeriksaan secara berjadual terhadap majikan dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan operasi bersepadu melibatkan agensi dan jabatan kementerian.

“Kita juga menjalankan operasi mega bersepadu iaitu Ops Benteras Buruh Paksa bersama imigresen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), KWSP, polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

“Selain itu mengadakan publisiti dan promosi di media sosial, mengedar flyer dan poster serta menjalankan program pendidikan ke seluruh negara melibatkan majikan dan pekerja,” katanya.


Pengarang :