BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Ceramah tanpa sumber sahih tiada metodologi ilmu, fasih tapi dusta

Oleh Marwan Bukhari A Hamid

“Di mata awam, orang yang berilmu agama adalah sesiapa yang menaiki mimbar!”

Demikian ujar seorang ulama pakar pelbagai bidang abad ke-15, Imam al-Suyuti dalam karangannya yang berjudul Tahdhir al-Khuwwas min Akadhib al-Qussas (Mewaspadai Kaum Budiman Daripada Pendustaan Penglipur Lara).

Ulasan al-Suyuti itu datang setelah beliau menukil teguran Imam Ibn al-Jawzi terhadap penglipur lara yang mendengar hadis palsu dan terus menceritakannya dalam keadaan tidak mengetahui kepalsuannya hingga memudaratkan orang ramai.

Malah menurut Ibn al-Jawzi yang juga ulama terbilang abad ke-12, sekumpulan pengarang yang tiada ilmu tentang periwayatan menghasilkan buku-buku pengajaran dan tafsir yang dipenuhi dengan riwayat yang batil.

Pertemuan antara penceramah bermasalah dengan khalayak yang tidak berpengetahuan menyebabkan khalayak yang keluar ceramah itu menobatkan penceramah sebagai ilmuwan.

Walhal, penceramah itu bukan ahli ilmu dan tidak menggunakan metodologi ilmu, malah kisah yang diceritakan itu pula palsu.

Setelah nukilan daripada Kitab al-Qussas wa al-Mudhakkirin (Buku Penglipur Lara dan Pentazkirah) itulah datang ulasan al-Suyuti bahawa ahli ilmu di mata awam ialah sesiapa sahaja yang berucap di mimbar ceramah.

Selain mereka berdua, banyak lagi ulama terkemuka kritikal dengan penceramah agama tidak bermutu. Hal ini menandakan bahawa sebahagian tugas penting kaum ilmuwan ialah menegur penceramah yang fasih tapi tiada isi ataupun menyuap isi tidak berkhasiat kepada khalayak.

Kembali kepada kritikan dinukilkan daripada dua ulama klasik sebentar tadi, ternyata ia menyentuh beberapa hal penting. Penceramah hendaklah mempersiapkan diri dengan ilmu sebelum terjun kepada masyarakat.

Penceramah tidak seharusnya sekadar membaca dan menyampaikan segala yang dibaca, malah perlu ada kemampuan untuk menyemak sumbernya. Semakan itu demi memastikan kesahihan dan ketepatan fakta.

Justeru, pesanan tersebut lebih berkaitan dengan seruan agar mempersiapkan diri dengan ilmu yang membolehkan seseorang menyaring maklumat yang diperoleh. Paling tidak, penceramah perlu tahu karya-karya berkredibiliti yang selamat untuk digunakan dan dirujuk.

Jika dia sanggup mendalami bidang usul al-hadis hingga berkemampuan untuk membuat penilaian terhadap sesuatu riwayat yang ditemuinya, maka itu tentulah lebih baik.

Selain itu, kata-kata al-Suyuti itu juga menuntut masyarakat agar meningkatkan pengetahuan mereka sehingga boleh berfikir secara ilmiah. Jika masyarakat terpelajar dan kritis, tentulah penceramah lebih berhati-hati dan teliti sebelum berbicara.

 

Kemelut tafsiran

 

Namun, isu ini tidak terhad tentang rujukan dan status sesuatu sumber. Lebih daripada itu, ada kemelut kefahaman yang perlu ditangani.

Andainya penceramah menggunakan sumber diterima dan sahih, namun adakah kefahamannya juga sahih?

Dalam hal ini, kita melihat kepentingan untuk penceramah mempunyai ilmu tentang kaedah berinteraksi dengan nas-nas agama sama ada yang suci seperti al-Quran dan hadis. Dari sudut ini timbul kepentingan untuk mempelajari ilmu usul al-fiqah dan maqasid Syariah.

Dengan berbuat demikian, sekurang-kurangnya, penceramah boleh mempelajari kaedah ulama berinteraksi dengan nas-nas syarak.

Mereka akan menjadi lebih terbuka dan merendah diri kerana menghargai kehebatan ulama silam serta mengakui keluasan fiqah dan pemikiran Islam.

Mereka juga akan lebih bersedia untuk menghadapi pertanyaan pendengar terutamanya pada zaman terbuka yang serba canggih ini.

Jika tidak, tafsiran juga boleh terbabas walau tidak menggunakan sumber yang palsu. Kemelut tafsiran ini bukan suatu yang baharu, malah sejak era klasik lagi ada dua kelompok bertentangan yang bermasalah.

Pertama, kelompok zahiriyyah yang terlalu literal hingga tidak mencabar kefahaman dan objektif sebenar nas agama.

Kedua, kelompok batiniyyah yang terlalu mengutamakan rahsia tersirat hingga menjadikan nas agama sekadar simbol yang ditafsirkan tanpa mengikuti kaedah-kaedah utama syarak.

Imam al-Shatibi menyebut bahawa pendekatan majoriti umat Islam sejak generasi awal adalah bersifat pertengahan. Tidak terlampau literal dan tidak juga seperti batiniyyah.

Oleh sebab itulah, maka ulama Mesir, Yusuf al-Qaradawi mengarang Thaqafah al-Da’iyah (Ilmu Pendakwah). Ia laksana sebuah panduan membina pendakwah yang berilmu dan berpengetahuan luas.

Buku yang diterbitkan sejak 1976 itu menekankan agar pendakwah mempelajari enam bidang ilmu iaitu ilmu agama dengan pelbagai disiplin termasuk tafsir, hadis, fiqah, usul al-fiqah, akidah dan tasawuf. Seterusnya bidang sejarah, sastera dan bahasa, kemanusiaan, sains dan ehwal semasa.

Semua itu tentunya dengan kadar yang memadai, sementelah ditulis dalam konteks 1970-an. Penambahbaikan tentulah boleh diutarakan. Namun, rencana untuk mencerdaskan pendakwah tetap bersifat malar segar.

Berceramah dan berdakwah hakikatnya adalah amanah. Sesiapa yang terlibat dalamnya hendaklah melaksanakannya dengan cara yang baik.

Ia termasuk meningkatkan mutu ilmu dan menghormati bidang ilmu tanpa bidang yang belum dipelajari.

Besar kepercayaan yang diberikan oleh khalayak kepada penceramah agama, justeru kepercayaan itu harus dibalas dengan meningkatkan mutu pengisian mereka.

Jika tidak, maka mungkin penceramah itu perlu diwaspadai sebagaimana pesanan tegas lagi bermakna yang disampaikan oleh al-Suyuti dan Ibn al-Jawzi.

Pelajar Maahad Tahfiz Darul Salamah tekun menghafal al-Quran di Seksyen U13, Setia Alam, Shah Alam pada 21 Mac 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :