Sekumpulan kanak-kanak bermain di tengah puing runtuhan bangunan di Bandar Gaza ketika sambutan Aidilfitri pada 11 April 2024. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Cuba sertai Afrika Selatan bawa kes genosid Israel ke ICJ

ANKARA, 22 JUN: Cuba semalam memutuskan untuk menyertai Afrika Selatan dalam tuntutan mahkamah terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), lapor Agensi Anadolu (AA).

Radio Havana Cuba melaporkan bahawa di bawah kewajipannya kepada Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid, Cuba akan melaksanakan haknya sebagai negara ketiga untuk membentangkan tafsirannya mengenai konvensyen itu, yang didakwanya telah dilanggar secara terang-terangan oleh Israel di Semenanjung Gaza.

Kes ini bertujuan untuk menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin akibat penggunaan kekerasan yang tidak seimbang dan tidak terkawal oleh Israel di wilayah Gaza yang diduduki secara haram.

Cuba menegaskan bahawa Israel, yang dilindungi oleh penglibatan Amerika Syarikat (AS), secara konsisten mengabaikan kewajipannya sebagai kuasa pendudukan di bawah Konvensyen Geneva, katanya.

Cuba menyatakan bahawa genosid, apartheid, pengusiran paksa dan hukuman kolektif tidak mempunyai tempat dalam dunia hari ini dan tidak sepatutnya diterima oleh masyarakat antarabangsa. Cuba menyeru keadilan dan pematuhan kepada Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.

Israel didakwa melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang dalam keputusan terbarunya telah memerintahkan Tel Aviv untuk segera menghentikan operasinya di Rafah iaitu lebih sejuta rakyat Palestin mencari perlindungan dari perang sebelum ia diserang pada Mei.

Melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera, Israel menghadapi kecaman antarabangsa di tengah-tengah serangan kejamnya yang berterusan ke atas Gaza, mengorbankan lebih 37,000 dan mencederakan lebih 85,000 rakyat Palestin sejak 7 Oktober lalu.

Lebih lapan bulan selepas perang Israel, sebahagian besar Gaza dalam keadaan hancur di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :