Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Cubaan seludup air zamzam, rokok gagal, barangan bernilai lebih RM730,000 dirampas

KLANG, 27 JUN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah II (Selangor) mematahkan cubaan penyeludupan pelbagai barangan termasuk air zamzam dan rokok, membabitkan nilai rampasan serta cukai berjumlah RM730,530 menerusi enam operasi berasingan di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata rampasan melibatkan air zamzam dilakukan dalam serbuan ke atas sebuah gudang di Shah Alam pada 21 Mei lalu.

Beliau berkata pemeriksaan yang turut disaksikan seorang lelaki tempatan dipercayai pengurus gudang tersebut, menemukan 4,685 liter air zamzam bernilai RM117,200 dan lelaki itu gagal mengemukakan sebarang permit import bagi dagangan itu.

“Air zamzam atau air mineral adalah barang larangan dan pengimportannya dibenarkan dengan syarat mempunyai lesen import di bawah Butiran 35, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagi rampasan rokok, Norlela berkata pemeriksaan ke atas sebuah gudang di Pelabuhan Utara pada 13 Jun lalu dan serbuan ke sebuah premis tidak berpenghuni di Seri Kembangan tujuh hari kemudian membawa kepada penemuan 670,000 batang rokok dengan anggaran nilai dan cukai RM505,100.

Beliau berkata rokok yang dirampas di Pelabuhan Utara telah diikrar sebagai ‘Bicycle Parts’ dalam dokumen perkapalan manakala modus operandi di Seri Kembangan menggunakan premis tidak berpenghuni sebagai stor penyimpanan barang tidak berkastam bagi mengelak dikesan JKDM.

JKDM turut merampas barangan seludup berupa 644.64 liter minuman keras pelbagai jenama; 2,816 keping jubin yang dibawa masuk tanpa sijil kelulusan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan 200 unit alat permainan seks, di lokasi berbeza di Lembah Klang.

– BERNAMA


Pengarang :