Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang Shahman Jalaludin pada majlis mengangkat sumpah terima jawatan di Bilik Siantan Menara Majlis Perbandaran Selayang, Selayang pada 05 Jun 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Cukai taksiran: MPS terima lebih 40 ribu bantahan, sesi pendengaran mulai 1 Julai

GOMBAK, 26 JUN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menerima 44,029 bantahan berhubung kadar cukai taksiran baharu setakat 31 Mei lalu.

Yang Dipertuanya Shahman Jalaluddin memaklumkan MPS mengadakan sesi pendengaran bantahan secara berperingkat selama dua bulan bermula 1 Julai hingga 30 Ogos ini.

“Sejak semalam, MPS telah menghantar notis pemakluman bantahan secara berperingkat melalui emel dan sistem pesanan ringkas (SMS) kepada semua pembantah.

“Ia hanya melibatkan bantahan diterima setakat 31 Mei. Bantahan selepas tempoh itu iaitu 1,712 ditolak untuk pendengaran,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat di Menara MPS, di sini hari ini.

Shahman menambah notis semakan senarai nilaian baharu cukai taksiran dibuat mengikut Seksyen 141 (Akta 171) kepada semua pemilik pegangan di kawasan pentadbiran MPS.

“Notis ini merupakan pemberitahuan nilaian semula cukai taksiran selepas 32 tahun MPS menggunapakai aras nilaian “tone of list” 1992.

“Nilaian semula cukai taksiran ini akan menggunapakai nilaian tahun semasa dan kadar cukai taksiran sedia ada diturunkan pada kadar lebih rendah bagi mengimbangi nilaian yang munasabah,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut berhubung bantahan boleh menghubungi Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MPS di talian 03-6126 5905/5906/5907.

Selain MPS, tujuh PBT lain juga tidak membuat semakan kadar cukai antara 20 hingga 40 tahun lalu seperti Majlis Perbandaran Kajang paling lama iaitu 39 tahun sejak 1985 serta Majlis Perbandaran Kuala Langat selama 37 tahun sejak 1987.

Bagi Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), pihak berkuasa tempatan itu tidak menaikkan cukai taksiran selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway. Manakala kawasan USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pula selama 27 tahun sejak 1997, manakala Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) 28 tahun sejak 1986.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pula tidak mengenakan sebarang peningkatan cukai taksiran selama 18 tahun sejak 2006.

Pada 30 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan proses penilaian baharu yang dijalankan PBT penting demi memastikan keberkesanan perancangan bandar.

 


Pengarang :