Pemandangan bandar raya Shah Alam (gambar hiasan). Foto Arkib Selangorkini
BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

Cukai tidak naik hampir 40 tahun, PBT tanggung peningkatan kos

Selangor negeri maju dengan nilai hartanah yang kian meningkat. Khidmat pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada penduduk juga semakin banyak khususnya prasarana dan kemudahan awam.

Demi menjayakan tujuan tersebut, cukai taksiran perlu dipertingkatkan sejak puluhan tahun tidak disemak. Semua 12 PBT tidak membuat penilaian baharu kadar cukai taksiran antara hampir 20 hingga 40 tahun lalu (lihat jadual).

Dalam keadaan begitu, semua PBT terus memberi perkhidmatan cemerlang. Pada 2019, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberi pengiktirafan terbaik kepada 12 pihak berkuasa ini.

Sistem Penarafan Bintang (SPB) kementerian tersebut menilai Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) paling tinggi 97.6 peratus dan paling rendah Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) 91.61 peratus.

Pencapaian ini lebih baik berbanding 2016 apabila hanya 10 PBT yang menerima lima bintang.

Daripada 12 pihak berkuasa tersebut, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) paling lama tidak menaikkan cukai berkenaan, selama 39 tahun. Ia baharu sahaja menaikkan cukai taksiran pada 1 Januari lalu.

MDSB dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) tidak menyemak sejak 1987, 37 tahun lalu. Kawasan pesat membangun dan padat penduduk seperti MBPJ dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sudah 32 tahun tidak membuat semakan.

Seperti PBT lain, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) ingin menaikkan cukai bagi menampung kos pengurusan, pembangunan, perkhidmatan dan penyelenggaraan yang meningkat saban tahun.

Pembangunan pesat bawah pentadbiran majlis itu, dinaik taraf bandar raya pada 23 November 2023, jauh berubah berbanding 31 tahun lepas atau sejak 1993, tahun terakhir cukai disemak.

Penilaian baharu boleh dibuat setiap lima tahun sekali mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 setelah dipersetujui Kerajaan Negeri. Namun, seperti 11 lagi PBT, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) tidak menyemak sejak 28 tahun.

Dalam kenyataan kepada Selangorkini, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) memaklumkan peningkatan kos pengurusan dengan situasi ekonomi semasa menyebabkan mereka terpaksa menanggung kos tinggi.

“Kami perlu membelanjakan RM3 berbanding cukai yang dikutip hanya RM1 untuk setiap rumah. Contohnya, peningkatan yuran penyelenggaraan juga menyebabkan MPKS perlu menanggung kos pengurusan sisa pepejal yang tinggi,” kata PBT itu yang dinaik taraf pada 7 Ogos 2021.

Proses penilaian baharu yang dijalankan PBT penting demi memastikan keberkesanan perancangan bandar selain merangka strategi masa depan, jelas Dato’ Menteri Besar pada 30 Mei lalu.

Menegaskan rumah kos rendah dan kampung tidak dikenakan cukai meski menerima notis itu, Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan ia bertujuan mengetahui nilai dan kualiti perbandaran sesebuah kawasan.

“Apabila buat penilaian semula, maka nilai rumah atau hartanah meningkat. Jadi (proses) ini adalah penilaian yang sebenar (terkini). (Kemudian) Kerajaan Negeri menetapkan selepas ini bila hendak dinaikkan atau tidak,” katanya.

Hasil kutipan cukai itu pastinya membolehkan PBT menyediakan kemajuan. MBDK misalnya merancang menyediakan tebatan banjir di Taman Sri Kerayong, Taman Klang Utama dan Taman Sungai Kapar Indah.

Walau penduduk menerima notis cukai taksiran baharu, pemilik hartanah boleh membuat bantahan menerusi PBT masing-masing. Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menerima 22,352 bantahan apabila tempoh tamat pada 31 Mei.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima 5,669 bantahan sewaktu tempoh tamat pada 14 Jun. Tarikh pendengaran awam bagi PBT itu ditetapkan pada 5 Ogos.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim menegaskan MBSA sedia berbincang dengan penduduk. “Kita terima bantahan dan akan panggil pemilik hartanah untuk sesi pendengaran,” katanya kepada Selangorkini pada 19 Jun.

Selain MPAJ, MBSA dan MDSB, tarikh bantahan kenaikan cukai Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sudah berakhir pada 31 Mei lalu.

Sesi pendengaran bantahan bagi MPAJ dan MBPJ masing-masing akan berlangsung pada 24 Jun hingga 31 Julai dan pada 1 Ogos.


Pengarang :