Pemain Selangor FC meraikan kemenangan serta menunjukkan solidariti kepada rakan sepasukan, Faisal Halim ketika perlawanan Selangor FC dan Kedah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 18 Mei 2024. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Dipotong tiga mata, Selangor FC dihukum lawan JDT tanpa penonton

SHAH ALAM, 25 JUN: Pasukan Selangor FC dipotong tiga mata dalam aksi Liga Super selain perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) berlangsung tanpa penonton di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memaklumkan hukuman tersebut susulan penarikan diri pasukan itu pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei lalu.

“Ahli lembaga pengarah MFL telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan kes ketidakhadiran Selangor FC ke perlawanan Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super pada 10 Mei.

“Selepas mengambil pertimbangan pada setiap faktor kes itu, ahli lembaga pengarah yang menghadiri mesyuarat itu sebulat suara membuat keputusan berikut,” katanya di Facebook.

Menurutnya, Selangor FC juga didenda sebanyak RM100,000 yang mana wang tersebut akan disumbang kepada badan kebajikan yang akan diputuskan kelak.

MFL juga berkata sekretariatnya dan JDT akan mengumpul maklumat dan kos kerugian akibat penarikan diri itu dan diserahkan kepada Selangor FC untuk semakan dan perbincangan lanjut.

Pemain Selangor FC Faisal Halim bercakap dalam sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pada 8 Mei lalu, Selangor FC menarik diri daripada aksi Piala Sumbangsih menentang JDT disebabkan faktor keselamatan, menegaskan pihaknya memandang serius segala ancaman yang diterima beberapa pemain serta pegawai.

Pada 5 Mei, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Pemain sayap lincah berusia 26 tahun itu kini memasuki fasa pemulihan yang diurus Selangor FC membabitkan latihan fizikal dan pengurusan emosi.

Pada 13 Jun lalu, Faisal membuat kemunculan sulung pada sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC dengan kesan luka masih belum kering pada tangan kiri dan kepala.


Pengarang :